KUALA LUMPUR 11 Mei — NCT Alliance Berhad menjual tanah berkeluasan kira-kira 40.4 hektar di NCT Smart Industrial Park (NSIP), Kuala Langat, Selangor untuk projek pembangunan pusat data (DC).
Usaha itu dilaksanakan anak syarikatnya, NCT World Sdn Bhd yang menandatangani lembaran terma bagi cadangan tersebut, dan turut mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen infrastruktur digital.
Menurutnya, tanah berkenaan sudah dikenal pasti oleh sebuah pengendali DC bertaraf antarabangsa sebagai lokasi berpotensi bagi pembangunan prasarana digital yang berskala besar di Malaysia.
"Projek ini dijangka menyokong kapasiti DC hingga 800 megawatt (MW), tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan pemeteraian perjanjian muktamad antara dua pihak," kata kenyataan NCT Alliance.
NSIP jelasnya, berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat permintaan terhadap pembangunan banyak DC dan tanah perindustrian baharu yang lengkap dengan infrastruktur.
Tambahnya, transaksi itu dijangka memberi sumbangan positif kepada margin dan pendapatan kumpulan selepas dimuktamadkan, selain memperkukuhkan kedudukan NSIP dalam segmen infrastruktur digital.

Ujar NCT Alliance, minat pengendali DC global itu turut mencerminkan kekuatan model dilaksanakan di NSIP menerusi pembangunan secara bersepadu, pengurusan berpusat serta perancangan jangka panjang.
"Pendekatan unik ini menawarkan persekitaran yang lebih stabil dan efisien untuk projek pelaburan berskala besar termasuk pembangunan DC dan industri berteknologi tinggi," kata kumpulan berkenaan.
NSIP yang dibangunkan di kawasan seluas 296 hektar ekar di selatan Selangor dilengkapi kemudahan berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sistem digital pintar dan ciri pembangunan mampan.
Lokasi itu juga kata NCT Alliance, sebelum ini menerima penarafan lima berlian di bawah Low Carbon Cities 2030 Challenge, selain diiktiraf sebagai taman perindustrian terurus pertama di Malaysia.
Katanya, Malaysia mencatat momentum kukuh pelaburan DC susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan perubahan rantaian bekalan global meningkatkan permintaan terhadap tanah industri.
"Secara keseluruhan, NSIP dilancarkan pada 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10.2 bilion dan akan dibangunkan dalam lima fasa," jelas kumpulan itu. - DagangNews.com








