KUALA LUMPUR 20 Mac - NCT Alliance Bhd memeterai perjanjian jualan saham bersyarat (SSA) untuk memperoleh 51% pegangan ekuiti dalam pemaju hartanah yang berpusat di Sabah, Setara Juara Sdn Bhd, dengan nilai RM22 juta.
Kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, NCT Panorama, menandatangani SSA dengan pemegang saham sedia ada Setara Juara iaitu Herman Lee Show Kien dan Melvin Lee Ying, bagi tujuan pemerolehan tersebut.
Pada bulan September 2024, NCT Alliance dan Setara Juara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi urusan berkenaan.
Setara Juara memiliki hak pembangunan bagi tiga plot tanah seluas kira-kira 101.04 hektar di Putatan, Sabah.
NCT Alliance berkata, pemerolehan itu membolehkan kumpulan membangunkan projek hartanah Ion Marina Bay dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.4 bilion.
"Projek ini akan dibangunkan dalam tempoh sembilan tahun dari 2025 hingga 2033.
"Ion Marina Bay merupakan projek pembangunan bercampur yang terletak dua kilometer dari Pusat Bandar Putatan dan lima kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang akan menampilkan kediaman, unit komersial dan gaya hidup," kata NCT Alliance dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pemerolehan yang dicadangkan itu, adalah projek pembangunan hartanah kedua NCT Alliance di Sabah.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy dalam pada itu berkata, perjanjian berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan syarikat ke Sabah, memperkukuhkan visi kumpulan untuk membina komuniti yang lestari di kawasan berpotensi tinggi.
Menurut NCT Alliance, Show Kien dan Lee Ying dari Setara Juara akan terus memainkan peranan utama dalam pembangunan projek tersebut.
Sementara itu, Show Kien berkata, Setara Juara telah terlibat secara mendalam dalam membentuk pembangunan itu.
"Dengan kepakaran serta sumber yang dimiliki NCT Alliance, kami yakin projek ini akan menghasilkan sebuah komuniti yang berkembang pesat, dirancang dengan baik, yang akan mempertingkatkan landskap hartanah Kota Kinabalu dan memberi nilai berkekalan kepada negeri ini," ujarnya.
NCT Alliance memberitahu, pembelian berkenaan akan dibiayai melalui gabungan RM8.8 juta dalam bentuk tunai daripada dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank, manakala RM13.2 juta bakinya diperoleh menerusi pertukaran tanah.
Kumpulan itu tidak menyatakan tanah mana yang terlibat dalam urusan tersebut.
Setelah selesai, Setara Juara akan menjadi anak syarikat milik 51% NCT Panorama dan seterusnya, anak syarikat tidak langsung NCT Alliance.
Show Kien dan Lee Ying pula masing-masing akan mengekalkan pegangan sebanyak 24.5% dalam syarikat tersebut.
Sebagai sebahagian daripada pemerolehan, NCT Panorama, Show Kien dan Lee Ying juga menandatangani perjanjian pemegang saham untuk mengawal hubungan mereka dalam Setara Juara.
NCT Alliance menjangkakan pemerolehan itu akan selesai pada suku ketiga tahun 2025. - DagangNews.com








