KUALA LUMPUR 20 Mac - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, NationGate Holdings Bhd, sedang meneroka prospek baharu untuk memacu pertumbuhan di luar sasaran organiknya.
Menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research, syarikat tersebut juga sedang memacu pertumbuhan melalui pengambilalihan pelanggan baharu, serta menjalin usaha sama yang mungkin memerlukan premis baharu untuk menampung peluang yang berkaitan.
"Kami percaya pertumbuhan syarikat akan datang dari sektor elektronik pengguna melalui kerjasama aktif dengan GoldTek Technology, sektor semikonduktor, serta infrastruktur kuasa pengkomputeran dan ruang pelayan," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Selain itu, UOBKH Research berkata, kumpulan tersebut baru-baru ini memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam Hesechan Industries Sdn Bhd, yang dilengkapi dengan tanah seluas 272,900 kaki persegi, untuk menyokong rancangan pengembangan syarikat.
Berhubung dengan penyiasatan Singapura terhadap kemungkinan penipuan dalam penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia yang tidak berkaitan dengan NationGate, UOBKH Research menyatakan, pihak pengurusan telah memberikan jaminan bahawa ia hanya membekalkan pelayan AI kepada Rakan Perkhidmatan Awan yang diluluskan dalam senarai rasmi Nvidia, tanpa bertanggungjawab terhadap penggunaan atau pengurusan.
Tambahnya, pengurusan juga menafikan hubungan perniagaan dengan entiti yang sedang disiasat.
"Kami juga merasa lebih yakin kerana syarikat mempunyai buku pesanan yang pelbagai, di mana hanya beberapa pelanggan sahaja yang menyumbang lebih daripada 10% daripada jumlah penghantaran sistem pelayan pemproses grafik HGX (300 hingga 500 sistem).
"Ini membantu mengurangkan risiko bergantung terlalu banyak kepada satu atau dua pelanggan sahaja," jelasnya.
Tambahnya, susulan berita mengenai kemungkinan penipuan penghantaran cip AI Nvidia, harga saham kumpulan itu jatuh serendah RM1.03 dalam masa seminggu dan kembali pulih ke RM1.36 selepas mesyuarat UOBKH Research dengan pengurusan dan komuniti pelaburan.
Firma penyelidikan itu mengakui, penyesuaian nilai diperlukan untuk menggambarkan risiko, tetapi ia percaya penurunan harga saham yang berlaku terlalu berlebihan.
"Pada harga RM1.36, saham tersebut masih 26% lebih rendah daripada harga sasaran semula selepas perubahan dalam teknologi AI, yang sepatutnya bernilai RM1.85.
"Saham ini juga diperdagang dengan hanya 14.6 kali nilai untung bagi tahun 2025, menjadikannya antara saham teknologi berkaitan AI yang paling berbaloi dari segi harga," ujarnya.
Dalam hal lain, UOBKH Research berkata, Peraturan Akhir Interim mengenai penyebaran AI telah menimbulkan ketidakpastian terhadap perkembangan teknologi AI dan pusat data di Malaysia, terutamanya kerana kategori Tahap-2 yang diberikan kepada Malaysia, yang berkemungkinan akan menghadapi sekatan eksport dan syarat perlesenan.
"Bagaimanapun, kami percaya masih ada peluang sebelum peraturan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh 120 hari yang akan datang iaitu pada akhir Mei 2025.
"Ini boleh memberi peluang kepada NationGate untuk memanfaatkan pembelian awal dan aliran pesanan yang dipercepatkan daripada pelanggan pengkomputeran data mereka, yang berpotensi mencetuskan lonjakan pesanan," katanya.
UOBKH Research turut mengekalkan cadangan 'beli' terhadap saham itu dengan harga sasaran RM2.33 setiap saham. - DagangNews.com








