KUALA LUMPUR 20 Jun - NanoMalaysia Bhd (NMB) dan Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA) memeterai kerjasama strategik untuk membangunkan konkrit berteknologi tinggi, yang menggabungkan teknologi penangkapan karbon dan nanoteknologi bagi merevolusikan industri pembinaan negara.
Inisiatif itu disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menangani dua cabaran utama termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan meningkatkan prestasi bahan binaan.
Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, dengan menyepadukan karbon pepejal yang diperoleh daripada GHG atmosfera ke dalam konkrit, projek tersebut memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyimpanan karbon sambil menghasilkan bahan binaan yang lebih kukuh dan tahan lama.
"Projek ini berada pada Tahap Kesiapsiagaan Teknologi (TRL) 3, ia juga disasarkan untuk mencapai TRL 5 melalui usaha yang berfokus dalam aspek formulasi, ujian, dan kebolehlaksanaan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
Universiti Teknologi PETRONAS bertindak sebagai rakan penyelidikan, manakala CIMA memainkan peranan sebagai rakan strategik serta pelaksana bagi aplikasi dunia sebenar.
Konkrit berteknologi tinggi berpotensi mengurangkan jejak karbon pembangunan infrastruktur negara secara ketara, seiring aspirasi Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih.
Ia juga menawarkan kelebihan prestasi tinggi untuk pembangunan bandar pintar, jalan raya, dan bangunan hijau.
Beliau turut mengakui cabaran seperti kos dan perluasan pengeluaran masih wujud, namun yakin dapat diatasi melalui pembangunan harta intelek, pengeluaran setempat, dan pelaksanaan dasar yang tepat.
Segmen konkrit berteknologi tinggi di Asia Pasifik diunjur berkembang kepada AS$54.9 juta (RM258 juta) menjelang 2030, dipacu permintaan terhadap bahan binaan mesra alam bagi pembangunan bandar dan infrastruktur pintar.
Kerjasama itu turut meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam inovasi pembinaan mampan, dengan menggabungkan sains, industri, dan tindakan iklim ke arah masa depan yang lebih hijau.- DagangNews.com








