MyCC cadang tindakan terhadap 22 syarikat didakwa tetap harga perkhidmatan penjagaan kanak-kanak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCC cadang tindakan terhadap 22 syarikat didakwa tetap harga perkhidmatan penjagaan kanak-kanak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 April - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, mencadangkan tindakan terhadap 22 syarikat yang didakwa terlibat dalam penetapan harga bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Tindakan itu berkemungkinan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

 

MyCC berkata, siasatan awal mendapati syarikat-syarikat tersebut telah berbincang dan bersetuju untuk menaikkan yuran penjagaan kanak-kanak semasa satu mesyuarat. 

 

Persetujuan itu kemudiannya disebarkan kepada penyedia penjagaan lain melalui satu edaran pekeliling.

 

 

 

"MyCC percaya tindakan ini bertujuan mengehadkan persaingan sihat dalam pasaran penjagaan kanak-kanak di kawasan terbabit.

 

"Namun, penemuan ini masih bersifat sementara dan belum disahkan sebagai pelanggaran undang-undang secara rasmi," kata MyCC dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya, syarikat-syarikat terlibat telah dimaklumkan mengenai kemungkinan hukuman dan diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis. 

 

Mereka juga diberi peluang untuk hadir memberikan penjelasan secara lisan sebelum keputusan muktamad dibuat berdasarkan semua maklum balas dan bukti yang diterima.

 

Ditubuhkan pada Jun 2011, MyCC berperanan sebagai badan bebas bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang bertujuan memastikan persaingan sihat dalam pasaran, sekali gus meningkatkan produktiviti, inovasi dan memberi lebih banyak pilihan, kualiti lebih baik serta harga yang adil kepada pengguna.

 

Akta berkenaan terpakai kepada semua aktiviti perniagaan di Malaysia, termasuk yang berlaku di luar negara sekiranya memberi kesan kepada pasaran tempatan. 

 

MyCC juga mempunyai kuasa menyiasat, membuat keputusan dan mengenakan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang persaingan. - DagangNews.com