MyAxis berhasrat labur RM11.3 juta tingkatkan kapasiti pemprosesan daging | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyAxis berhasrat labur RM11.3 juta tingkatkan kapasiti pemprosesan daging

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - MyAxis Group Berhad berhasrat melabur sebanyak RM11.3 juta bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan ayam dan daging untuk memacu pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.

 

Kumpulan itu berkata, pelaburan itu adalah bagi meningkatkan kapsiti pemprosesan ayam kepada 708,000 kg daripada 336,000 kg dan menggandakan kapasiti daging merah sebanyak tiga kali ganda kepada 1.87 juta kg daripada 624,000 kg.

 

Katanya, pelaburan itu juga merangkumi peningkatan kapasiti penyimpanan sejuk tahunan kumpulan kepada lebih 10 kali ganda, iaitu kepada 566,000 kg, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pemprosesan daging.

 

Kumpulan itu akan terus mengembangkan pangkalan pelanggannya dengan mengedar produk makanannya kepada hampir 300 pelanggan di seluruh negara, termasuk pengeluar makanan, pemborong, peruncit, dan penyedia perkhidmatan makanan & minuman (F&B).

 

Pelaburan itu akan dibiayai melalui pinjaman bank, dana yang dijana secara dalaman, serta hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang berjaya mengumpul sejumlah RM5.3 juta.

 

Menerusi anak syarikat milik penuh, KK Fresh Frozen Sdn Bhd (KK Fresh), MyAxis telah menjalankan perniagaan pengedaran daging sejuk beku sejak tahun 2015. Kumpulan ini mengedar pelbagai produk makanan, termasuk ayam sejuk beku, daging merah, dan makanan laut. 

 

Pada 2024, kumpulan itu mula menceburi sektor huluan dalam pemprosesan dan penjualan produk ayam serta daging merah.

 

Pengerusi Eksekutif MyAxis, Datuk Tan Hwa Sing berkata, pihaknya teruja dengan kemudahan pemprosesan daging baharu yang akan terus melonjakkan perniagaan kumpulan dan peralihan ke sektor huluan itu melengkapi perniagaan selain membolehkan mereka mengembangkan rangkaian produk kepada pelanggan.

 

"Dengan kemudahan pemprosesan yang diperluas, kami akan dapat menawarkan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan sedia ada serta membuka pasaran baharu untuk kami. 

 

"Selain itu, kami berhasrat untuk membangunkan jenama halal kami sendiri bagi produk daging proses untuk meluaskan lagi capaian pasaran, dan yang paling penting, menyumbang kepada pengukuhan keselamatan makanan negara.

 

"Penyenaraian IPO itu bukan sahaja membantu meningkatkan profil korporat kami, malah mempercepatkan trajektori pertumbuhan kami apabila kami mula meneroka pasaran modal," katanya dalam satu kenyataan selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran LEAP Bursa Malaysia, hari ini.

 

Dengan peningkatan kapasiti pemprosesan dan penyimpanan itu, kumpulan turut menyasarkan pertumbuhan dalam pangkalan pelanggannya, khususnya dalam kalangan penyedia makanan & minuman (F&B), rangkaian hotel dan pengeluar makanan terproses.

 

Dengan keluasan binaan sebanyak 17,567.7 kaki persegi, kemudahan pemprosesan baharu yang terletak secara strategik berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2026. 

 

Lokasi strategik itu membantu dalam meningkatkan keselamatan kontena dan memastikan kualiti produk bagi daging sejuk beku yang diimport dari Thailand.

 

Kilang baharu itu direka bentuk untuk mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti makanan utama, termasuk Halal, MESTI, GMP, HACCP dan VHM, bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan dan amalan terbaik industri.- DagangNews.com