KUALA LUMPUR 12 Jun - Mudajaya Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Mudajaya Corporation Bhd (MCB), berjaya mencapai persetujuan bersama dengan pelanggannya, THB Power Sdn Bhd, berhubung pertikaian kewangan.
Mudajaya berkata, THB Power mengakui dan mengesahkan berhutang kepada MCB sebanyak RM52.67 juta.
Jelasnya, pengesahan itu telah difailkan dalam bentuk afidavit pada 30 Mei 2025.
"Sebagai sebahagian daripada penyelesaian ini, MCB telah menerima bayaran pertama sebanyak RM27.33 juta termasuk faedah.
"Baki bayaran akhir sebanyak RM27.9 juta dijangka diterima selewat-lewatnya pada 28 Ogos 2025," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tambahnya, MCB akan menarik balik permohonan pembubaran syarikat THB Power selepas menerima semua bayaran.
Mudajaya menyatakan, MCB dan THB Power masih berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagi baki tuntutan sebanyak RM7.95 juta.
"Jika rundingan gagal, MCB boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut jumlah berkenaan," ujarnya.
Mahkamah juga membenarkan permohonan MCB untuk menangguhkan prosiding penutupan syarikat sementara menunggu bayaran penuh daripada THB Power.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 12 September 2025.
MCB memfailkan petisyen pembubaran terhadap THB Power pada 21 Februari 2025 kerana mendakwa syarikat itu berhutang RM60.63 juta bagi kerja-kerja awal pembinaan loji janakuasa gas 1,200 megawatt di Gurun, Kedah, yang siap pada Jun 2022.
Nilai penuh kontrak projek tersebut adalah RM104.47 juta.
Sementara itu, THB Power telah menarik balik tuntutan undang-undang terhadap MCB yang difailkan pada 17 April lalu.
Ia bertujuan memohon mahkamah mengurangkan jumlah bayaran kepada RM52.67 juta berbanding RN60.63 juta yang dituntut MCB.
THB Power juga tidak dibenarkan memfailkan semula tuntutan tersebut. - DagangNews.com








