MTUC adakan piket di seluruh pejabat Perkeso bantah cara pelaksanaan skim Lindung 24 jam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTUC adakan piket di seluruh pejabat Perkeso bantah cara pelaksanaan skim Lindung 24 jam

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Sept - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara bagi membantah cara pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), yang turut dikenali sebagai Lindung 24 Jam.

 

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, Majlis Am kongres itu telah memutuskan perbincangan dan sesi libat urus mengenai SKBBK diadakan serta caruman ditangguhkan.

 

Tambahnya, beberapa surat juga telah dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan.

 

 

 

 

 

 

"Malangnya Perkeso tidak peduli. Majlis Am memutuskan piket dibuat bagi membantah cara SKBKK dilaksanakan. MTUC mahu perbincangan diadakan segera bagi membincangkan kadar caruman pekerja dan kadar caruman majikan," katanya dalam kenyataan.

 

Kamarul Baharin berkata, MTUC mengecam Perkeso yang mengenakan caruman tambahan kepada pekerja sebanyak 0.75 peratus daripada gaji.

 

"Ini bermakna RM12.75 bagi pekerja yang bergaji minima RM1,700,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

 

Beliau turut mempersoalkan sikap Perkeso yang disifatkannya sebagai terlalu menekan sehingga enggan mengadakan perbincangan dengan pertubuhan pekerja.

 

"Adakah Perkeso telah kehilangan simpati dan tiada rasa ihsan kepada pekerja yang berada dalam keadaan tertekan akibat kos sara hidup meningkat," katanya.

 

Di bawah SKBBK, pekerja mencarum 0.75 peratus daripada gaji mereka sepanjang dua tahun pertama pelaksanaannya, dengan caruman itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

 

Kadar itu dijadualkan meningkat kepada satu peratus bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25 peratus mulai tahun keenam.

 

 

 

 

 

Skim yang berkuat kuasa pada 1 Jun itu menyediakan perlindungan Perkeso selama 24 jam bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

 

Skim itu pada mulanya diperkenalkan secara wajib, tetapi kabinet mengubah dasar berkenaan pada 8 Julai susulan maklum balas orang ramai, dengan penyertaan dijadikan sukarela bagi pekerja tempatan manakala perlindungan bagi pekerja asing kekal diwajibkan. - DagangNews.com