mTouche Technology catat kerugian bersih RM13 juta bagi 1QFY26 akibat pelanggan gagal bayar hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

mTouche Technology catat kerugian bersih RM13 juta bagi 1QFY26 akibat pelanggan gagal bayar hutang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 JunmTouche Technology Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM12.77 juta bagi tempoh suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2026, iaitu peningkatan kira-kira 10.96%.

 

Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, situasi yang lemah itu disebabkan terutamanya oleh faktor kegagalan segelintir pelangan membayar hutang berjumlah RM6.25 juta.


Selain itu, ia dipengaruhi oleh kos pelunasan dan susut nilai harta, loji dan peralatan (RM1.62 juta), perbelanjaan faedah (RM0.18 juta) serta kerugian pertukaran mata wang asing (RM0.59 juta).


"Syarikat menyatakan kerugian sebelum cukai (LBT) bagi 1QFY26 meningkat kira-kira 162.98% kepada sebanyak RM11.79 juta berbanding RM4.48 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya," kata mTouche.


Bagi prestasi pendapatan, kumpulan meraih hasil RM2.11 juta pada suku tersebut, dijana terutamanya menerusi mTouche (Thailand) Co Ltd melalui perkhidmatan kandungan pesanan dan aplikasi ThaiToon.


Pada masa sama jelasnya, pendapatan syarikat berkenaan turut disumbangkan menerusi mTouche International Sdn Bhd melalui aktiviti jualan dan perkhidmatan produk teknologi maklumat (IT).


Mengulas mengenai prospek masa depan pula, mTouche mengambil langkah strategik untuk menangguhkan kerja-kerja pengubahsuaian pusat kesihatan dan kesejahteraan di premis Troika KLCC.


"Keputusan ini dibuat bagi membolehkan syarikat menilai semula dan memperhalusi tawaran perniagaan ekoran kelembapan semasa dalam segmen pasaran itu serta persaingan yang semakin sengit," katanya.


Bagaimanapun, syarikat tetap komited mengekalkan perniagaan kecergasan sedia ada dan terus menerima pendapatan sewa stabil daripada pajakan unit Troika kepada pihak ketiga. - DagangNews.com