mTouche tangguh kerja projek pusat kesihatan di Troika KLCC berikutan pasaran lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

mTouche tangguh kerja projek pusat kesihatan di Troika KLCC berikutan pasaran lemah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 SeptmTouche Technology Berhad menangguhkan kerja pengubahsuaian pusat kesihatan, kesejahteraan dan pemulihan di Troika KLCC susulan pasaran lemah segmen tersebut.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kerja bagi pembangunan pusat kesihatan dan kesejahteraan Fasa 1 serta pusat pemulihan Fasa 2 ketika ini dihentikan bagi menilai semula model perniagaannya.

 

Bagaimanapun, ia masih mengekalkan perniagaan kecergasan sedia ada bagi memastikan kehadiran jenama dan hubungan dengan komuniti terus terpelihara, selain memantau perkembangan persaingan.

 

"Dalam perkembangan positif, Troika Unit 2-2 telah disewakan pada kadar yang menguntungkan, dan menyediakan aliran hasil ketika projek pembangunan Unit 2-1 masih lagi ditangguhkan," kata mTouche.

 

Bagi tempoh suku pertama berakhir 30 Jun 2026, kumpulan tersebut mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.95 juta, manakala kerugian sebelum cukai (LBT) berjaya dikurangkan 89.2% kepada RM1.28 juta.

 

Tiada angka perbandingan tahun sebelumnya berikutan perubahan tahun kewangan kepada 31 Mac daripada 30 September, namun menunjukkan penyusutan ketara berbanding RM11.79 juta pada suku sebelum itu.

 

Perkembangan positif itu ujar mTouche, disebabkan terutamanya ketiadaan caj kerugian kemerosotan nilai belum terima RM6.25 juta, serta kerugian pertukaran mata wang asing (forex) RM0.59 juta.

 

mTouche_DagangNews2026

 

"Perbelanjaan susut nilai dan pelunasan harta, loji dan peralatan turut jatuh kepada RM715,000, berbanding RM1.62 juta pada suku sebelumnya, manakala kos kewangan berjumlah RM169,000," katanya.

 

Hasil dijana menerusi perkhidmatan kandungan mesej dan aplikasi mudah alih oleh mTouche (Thailand) Co Ltd selain aktiviti jualan produk teknologi maklumat (IT) oleh mTouche International Sdn Bhd.

 

Tambahnya, dari segi kedudukan kewangan pula, mTouche mempunyai aliran tunai dan baki bank RM7.17 juta serta deposit tetap dengan bank berlesen mencecah sebanyak RM17.93 juta setakat 30 Jun 2026.

 

Sementara itu, pinjaman bank berkurangan kepada RM8.64 juta berbanding RM8.79 juta pada suku sebelumnya, dan dalam usaha memperkukuh aliran tunai, ia turut mengubah penggunaan dana syarikat.

 

"Antaranya RM18 juta bagi perniagaan kesihatan kepada modal kerja perniagaan teras. Keseluruhan dana terbitan hak RM79.43 juta, dan dana modal kerja berjumlah RM5.05 juta setakat akhir Jun 2026.

 

Melangkah ke hadapan, pengurusan mTouche memberi tumpuan kepada disiplin kos, kecekapan operasi dan pengukuhan perniagaan teknologi maklumat (IT) serta mudah alih dengan permintaan tinggi.

 

Usaha itu termasuk menerusi kerjasama strategik dengan rakan kongsi sedia ada bagi meningkatkan jualan, memperbaiki margin dan mengukuhkan daya tahan perniagaan. - DagangNews.com