MTDC melabur dalam Oncode bagi memperkukuhkan aspirasi 'HealthTech' dan ekosistem 'Deep-Tech' negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTDC melabur dalam Oncode bagi memperkukuhkan aspirasi 'HealthTech' dan ekosistem 'Deep-Tech' negara

Majlis memeterai perjanjian pelaburan strategik di antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Oncode Scientific Sdn. Bhd. (Oncode) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memeterai perjanjian pelaburan strategik bersama Oncode Scientific Sdn. Bhd. (Oncode) dalam usaha memperkukuh ekosistem inovasi teknologi kesihatan dan 'Deep-Tech' negara.

 

Pelaburan itu bakal menyokong Oncode dalam memperluas makmal diagnostik molekul di hospital tempatan, meningkatkan platform biosensor berkuasa keserdasan buatan (AI), serta mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan kit diagnostik generasi baharu.

 

Ia juga adalah sejajar dengan transformasi sistem kesihatan Malaysia ke arah penjagaan kesihatan berasaskan sains dan keperluan spesifik individu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata, kecemerlangan sains sahaja tidak memadai kerana untuk mencipta impak sebenar memerlukan mekanisme pemacu pasaran yang boleh menghubungkan penemuan kepada pelaksanaan. 

 

"Oleh itu, MTDC bukan sekadar menyediakan dana, tetapi turut membina ekosistem yang kukuh dan pemerkasaan kepercayaan dalam kalangan inovator, pelabur dan institusi,” katanya dalam kenyataan.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

 

Oncode sebuah syarikat 'Deep-Tech' tempatan dalam bidang kesihatan yang pakar dalam diagnostik molekul dan perubatan ketepatan (precision medicine).

 

Ditubuhkan pada 2015, Oncode kini merupakan antara firma diagnostik molekul terkemuka di Asia Tenggara, disahkan di bawah piawaian ISO 15189 serta akreditasi College of American Pathologists (CAP).

 

Oncode juga memiliki kepakaran dalam penjujukan generasi baharu (NGS), bioinformatik dan diagnostik ketepatan — tonggak utama dalam penjagaan kesihatan yang diperibadikan dan dipacu data.

 

Hazani berkata, pelaburan itu juga akan membantu Oncode melancarkan kit diagnostik ‘point-of-care’ yang disesuaikan dengan kepelbagaian genetik rakyat Malaysia.

 

Jelasnya, Inisiatif ini sejajar dengan projek MyGenom MOSTI yang menyasarkan penjujukan 10,000 genom rakyat Malaysia serta pembangunan NTIS Health Tech Hub, di mana lima hospital awam digunakan sebagai tapak ujian teknologi perubatan baharu.

 

Oncode juga bersedia mengorak langkah ke peringkat serantau dengan sasaran pengembangan ke Singapura, Hong Kong dan Indonesia, melalui kerjasama strategik dalam penubuhan makmal diagnostik serta pembangunan bersama platform biosensor untuk pasaran serantau dan global.

 

Kerjasama ini secara langsung menyokong aspirasi MOSTI untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi kesihatan serantau menjelang 2030.

 

Inisiatif ini turut selari dengan beberapa dasar dan pelan strategik negara seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang menyasarkan GERD sebanyak 2.5% daripada KDNK dengan 70% sumbangan sektor swasta.

 

Sebagai salah satu rakan pelaksana utama MOSTI, MTDC telah memainkan peranan penting dalam menterjemahkan strategi inovasi kepada pencapaian yang boleh diukur. 

 

Sehingga tahun 2025, MTDC telah menyokong lebih 850 syarikat teknologi, menjana hasil ekosistem bernilai RM8 bilion, merekod eksport RM1 bilion daripada firma 'Deep-tech' dan memudahcara 18 penyenaraian IPO.

 

Pelaburan ini menyumbang kepada agenda nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk peruntukan RM40 bilion untuk sektor kesihatan serta usaha lebih meluas ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi dan pertumbuhan pesat.

 

“Aspirasi teknologi negara tidak akan tercapai tanpa bakat berkualiti dan keyakinan terhadap keupayaan tempatan. Justeru, kami fokus membina kapasiti deep-tech daripada makmal ke tahap kepimpinan. Inovator kita perlu memiliki bukan sahaja kemahiran teknikal, malah keyakinan untuk menyelesaikan cabaran negara yang kompleks,” tambah Hazani. - DagangNews.com