KUALA LUMPUR 20 Jun - MSM Malaysia Holdings Bhd merancang untuk meningkatkan jumlah eksport produk bernilai tambah seperti gula cecair dan campuran kepada 360,000 tan pada tahun ini, berbanding 240,000 tan pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, peningkatan itu akan disokong oleh kapasiti pengeluaran yang lebih baik dari kilang penapisan MSM di Johor melibatkan MSM Sugar Refinery Johor Sdn Bhd serta kerjasama strategik dengan rakan niaga luar negara.
Jelasnya, MSM Malaysia ingin memperkukuh pasaran sedia ada di China dan ASEAN bagi mengembangkan pengaruh eksportnya.
"Syarikat tidak akan meneroka pasaran baharu memandangkan China sudah lama menjadi pelanggan tetap.
"Dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi di kilang Johor, syarikat kini boleh menghasilkan lebih banyak produk untuk dieksport selain memenuhi permintaan domestik," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat semalam seperti laporan The Star.
Menurut Syed Feizal, MSM Malaysia bergantung kepada kualiti premium gula dan hubungan erat dengan syarikat perdagangan produk pertanian terbesar China, China Oil and Foodstuffs Corp (COFCO), untuk meningkatkan jualan gula dan produk bernilai tinggi.
Beliau berkata, eksport gula MSM kini menyumbang kira-kira 15% hingga 20% daripada keseluruhan jualan syarikat, manakala lebih 60% eksport dihantar ke negara-negara ASEAN.
"Dengan syarikat Korea Selatan mengimport gula kita dan China juga membeli melalui pengimport seperti Korea, kami yakin boleh bersaing dengan baik," tambah beliau. - DagangNews.com








