KUALA LUMPUR 21 Mac - Syarikat pengedar alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran, MSB Global Group Bhd, menyasarkan untuk mengumpul RM26.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan pengembangan perniagaan.
IPO itu melibatkan penerbitan 133.00 juta saham biasa baharu pada harga runcit RM0.20 sesaham.
Sebanyak RM4.97 juta daripada hasil IPO tersebut akan digunakan untuk pembinaan kilang dan gudang baharu bagi menyokong pengeluaran pelincir dan cecair, manakala RM6 juta akan diperuntukkan bagi pembelian mesin, peralatan dan bahan mentah untuk menubuhkan barisan pengeluaran.
Selain itu, sejumlah RM5.50 juta akan digunakan juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja am (RM4.79 juta), perbelanjaan penyenaraian (RM4.50 juta) dan menyokong pelancaran dan pengedaran pengecas kenderaan elektrik (EV) jenama kumpulan (RM840,000).
Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo berkata, IPO berkenaan membolehkan syarikat mengukuhkan kedudukan dalam industri selepas pasaran automotif sambil mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio produk.
"Dana yang dikumpul akan menyokong visi kami untuk menyediakan rumusan berdaya cipta dan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami.
"Kami kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang saham kami dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif Malaysia," katanya dalam satu kenyataan susulan pelancaran prospektus kumpulan, hari ini.
Pengarah Urusan (Kewangan Korporat) dan Pengarah Eksekutif M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan IPO MSB Global.
"Dengan kehadiran pasaran yang kukuh, jenama yang mantap dan strategi yang berdaya maju, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran.
"IPO ini menandakan satu pencapaian strategik yang akan memperkukuh lagi operasi dan daya saing MSB Global," ujarnya.
M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.
MSB Global adalah pengedar eksklusif bagi alat ganti dan komponen automotif jenama GSP di Malaysia, menawarkan pelbagai produk selepas pasaran yang berkualiti tinggi.
Ia termasuk poros pemacu, pemasangan hab roda, bahagian suspensi, rak stereng dan banyak lagi.
Pada masa yang sama, kumpulan turut mengembangkan jejaknya dalam segmen pelincir dan cecair automotif melalui jenamanya, FK FUKUOKA dan ZR.ZURIC, yang menawarkan minyak enjin, cecair transmisi automotif, minyak gear, cecair brek dan cecair automotif penting lain. - DagangNews.com








