MOF beri kemudahan kepada pihak industri semasa tempoh peralihan pelaksanaan perluasan skop SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MOF beri kemudahan kepada pihak industri semasa tempoh peralihan pelaksanaan perluasan skop SST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Kementerian Kewangan bersetuju untuk memberi beberapa kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan di bawah perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 

Kerajaan MADANI memahami, pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai. 

 

Oleh itu, kerajaan memberi kelonggaran untuk mengemukakan penyata cukai secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.

 

"Bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MOF berkata, pendaftaran awal pengilang di bawah Cukai Jualan secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membolehkan pengilang mendaftar lebih awal sebelum pelaksanaan. 

 

Katanya, pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan mulai 1 Julai 2025, dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai. 

 

Syarikat yang telah menerima pengecualian Cukai Jualan menerusi Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian tersebut, tertakluk kepada tempoh dan syarat yang telah ditetapkan.

 

"Sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan telah mencapai nilai ambang yang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my," katanya.

 

Untuk maklumat lanjut, orang awam dan para peniaga boleh menghubungi Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

kastam

 

 

MOF berharap, kemudahan itu akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST.- DagangNews.com