KUALA LUMPUR 13 Feb - MNRB Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM431.7 juta bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Kumpulan pegangan kewangan dalam rumusan insurans semula dan takaful itu berkata, angka tersebut melonjak 43.5% berbanding kira-kira RM300.8 juta dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan ini jelas syarikat ditubuhkan sejak 1972 itu, didorong prestasi operasi yang kukuh meliputi semua segmen perniagaan serta pendapatan pelaburan bersih semakin tinggi.
"Hasil keseluruhan meningkat 12.3% kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.6 bilion pada tahun FY25, mencerminkan pengembangan perniagaan yang stabil," maklum MNRB kepada Bursa Malaysia hari ini.
Selain itu, pendapatan pelaburan bersih meningkat 32.3% kepada RM412.8 juta, disokong peruntukan aset yang berdisiplin serta pulangan tinggi daripada portfolio pendapatan tetap dan ekuiti.
Kedudukan perkhidmatan insurans dan takaful pula katanya, tumbuh 16.1% kepada RM381.1 juta, susulan daripada peningkatan sumbangan daripada segmen insurans semula/retakaful dan takaful am.
Dalam pada itu jelas MNRB, prestasi segmen insurans semula dan retakaful terus menjadi pemacu utama kumpulan berkenaan dengan menyumbang sebanyak 74.1% daripada jumlah pendapatan keseluruhan.
"Malaysian Reinsurance Berhad mencatatkan peningkatan untung selepas cukai 24.3% kepada RM319.9 juta, dipacu tuntutan yang positif, perniagaan 'voluntary cessions' dan portfolio khas," katanya.
Sementara itu tambahnya, segmen takaful menerusi skim Takaful Ikhlas masih mengekalkan momentum pertumbuhan dengan peningkatan besar keuntungan selepas cukai sebanyak 60.3% kepada RM79.1 juta.
Pertumbuhan menggalakkan ini kata MNRB, dipacu prestasi cemerlang portfolio motor dan kebakaran bagi takaful am, serta sumbangan daripada skim hospitalisasi kumpulan untuk takaful keluarga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, pencapaian suku ketiga ini merupakan peristiwa penting mencerminkan pengurusan risiko berkesan.
"Peningkatan kualiti pendapatan dan pulangan ini membuktikan daya tahan model operasi kami dalam persekitaran pasaran insurans dan takaful yang cukup dinamik," kata beliau dalam satu kenyataan.
Melangkah ke hadapan, MNRB berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan, dan kumpulan itu akan terus fokus kepada pengembangan segmen perniagaan yang menguntungkan.
Di samping itu, usaha pengoptimuman bakat, serta memperkukuh komitmen terhadap kelestarian bagi memberikan nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruhan juga ditekankan. - DagangNews.com








