KUALA LUMPUR 18 Jun - Syarikat utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holding Berhad menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd menerima kontrak RM36.9 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan pencawang bagi pusat data di wilayah selatan.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu diterima daripada pelanggan yang menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat (Pelanggan A).
Menerusi kontrak itu, mereka akan terlibat dengan kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan, penyelenggaraan, pengujian dan pentauliahan bagi stesen pendaratan (CLS) baharu.
"Kontrak itu sudah dimulakan pada 15 April 2025, penghantaran peralatan bertempoh panjang (LLE) secara tentatifnya pada 30 September manakala pembekalan tenaga kepada sistem bermula pada 30 Disember.
"Kesemua pihak bersetuju bahawa mereka boleh dengan persetujuan bersama mengubah sebarang tarikh dan perubahan sedemikian tidak akan menjejaskan tarikh siap projek," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham syarikat setelah projek dimulakan.- DagangNews.com








