KUALA LUMPUR 8 Julai - Kejayaan meraih projek kejuruteraan pencawang terbaharu daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyaksikan MN Holdings Berhad terus kekal sebagai proksi pilihan bagi infrastruktur tenaga di Malaysia serta pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan tenaga solar kata, Phillip Research.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM29.3 juta oleh TNB bagi kerja-kerja sambungan dua transformer 132 kV baharu di pencawang utama sedia ada bagi Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di Johor.
Kontrak tersebut dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, projek itu menandakan kemenangan kontrak pertama MN bagi tahun kewangan berakhir Jun 2026 (FY26), mewakili 5% daripada andaian penambahan kontrak setahun sebanyak RM600 juta.
“Ini meningkatkan buku pesanan syarikat kepada RM1.1 bilion, bersamaan dengan nisbah perlindungan hasil 4.5 kali berbanding hasil FY24 yang lalu, memberikan keterlihatan hasil yang kukuh sehingga FY27.
"Dengan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 7% bagi projek TNB, kami mengunjurkan kontrak ini akan menyumbang RM2 juta sepanjang FY26 dan FY27,” katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Research berkata, kemenangan kontrak itu mengukuhkan lagi jangkaannya bahawa kumpulan berada pada kedudukan yang kukuh sebagai penerima manfaat utama daripada perbelanjaan modal yang dibenarkan TNB sebanyak RM42.8 bilion dari tahun ini hingga 2027, dengan projek TNB kini merangkumi 40% daripada keseluruhan buku pesanan MN.
Melihat ke hadapan, firma penyelidikan tersebut menjangkakan momentum penambahan kontrak bagi MN kekal kukuh, disokong saluran tender bernilai RM1.9 bilion merentasi pelbagai sektor, termasuk pusat data (45%), TNB (36%), solar (8%), serta air dan pembetungan (2%).
“Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan, kerana kemenangan kontrak ini sejajar dengan andaian sedia ada.
'Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran 12 bulan sebanyak RM1.72, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 18 kali terhadap pendapatan sesaham cair penuh bagi tahun kalendar 2026,” kata Phillip Research. - DagangNews.com








