MN Holdings terima kontrak RM168.9 juta bina infrastruktur kuasa pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings terima kontrak RM168.9 juta bina infrastruktur kuasa pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - MN Holdings Berhad menerusi Mutu Nusantara Sdn Bhd menerima kontrak RM168.9 juta daripada syarikat pusat data antarabangsa bagi pembinaan infrastruktur kuasa pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

 

Katanya, kontrak itu diberikan bagi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan projek pencawang 275/33kV, akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan dan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor infrastruktur tenaga Malaysia.

 

Projek itu dijadualkan bermula pada Mac 2025 dan dijangka siap pada Mac 2026.

 

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, kontrak itu merupakan langkah penting kumpulan bagi mendapakan projek pertama dengan pengendali pusat data berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

"Ia mencerminkan keyakinan pemain global terhadap keupayaan kami dan menekankan komitmen bagi menyampaikan rumusan infrastruktur kuasa yang boleh dipercayai.

 

"Kami melihat momentum kukuh dalam sector tenaga dan utility Malaysia, didorong inisiatif seperti program solar skala besar seperti LSS5 dan LSS5+, Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dengan RM20 bilion dibenarkan untuk perbelanjaan operasi bagi peningkatan grid dan dan agenda infrastruktur air AIR2040 sebanyak RM10 billion," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, dengan buku pesanan yang semakin meningkat, pihaknya berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong perkembangan itu dan terbuka untuk meneroka peluang di Malaysia Timur sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang.

 

Dengan kemenangan kontrak terbaru ini, buku pesanan MN Holdings kini berjumlah RM892.4 juta, mengukuhkan trajektori pertumbuhannya dalam segmen infrastruktur dan utiliti.

 

Kumpulan itu komited untuk menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pusat data utama sambil memacu nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang kepentingannya.- DagangNews.com