KUALA LUMPUR 20 Feb - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) dianggar menerima kontrak keseluruhan berjumlah RM5 bilion pada FY25, kata MIDF Research.
Walaupun anggaran yang sedikit lebih rendah, katanya, kumpulan itu akan terus melaksanakan projeknya tepat pada masanya dan mengikut bajet, terutamanya bagi aktiviti huluan luar pesisir.
Katanya, buku pesanan FY24, susut sebanyak 16.8% kepada RM5.3 bilion, sebahagian besarnya disebabkan penyiapan projek dan aktiviti luar pesisir yang lemah disebabkan faktor geopolitik pada 2023 dan 2024
Namun begitu, tiga projek utama telah dianugerahkan kepada MMHE pada FY23-FY24, yang akan membantu mengekalkan operasi jangka panjangnya.
"Kami juga menjangkakan projek angin luar pesisir mereka akan menyumbang kepada pendapatannya dengan anggaran pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 10%.
"Ia akan ditambah dengan projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS Kasawari), MMHE dijangka mengekalkan hasil hijaunya antara 37% hingga 38% daripada jumlah hasil pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih MMHE bagi 4QFY24 melonjak lebih 3 kali ganda kepada RM21.38 juta
Terdahulu, prestasi positif itu disebabkan kedudukan kewangan yang lebih baik bagi segmen kejuruteraan beratnya serta sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen marin.
Segmen kejuruteraan berat mencatatkan keuntungan sebanyak RM110.1 juta pada FY24 berbanding kerugian RM499.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan peruntukan kos tambahan.
Segmen marin melaporkan keuntungan yang lebih tinggi sebanyak RM41 juta pada FY24, meningkat daripada RM22.5 juta tahun sebelumnya.
Memandangkan pendapatan FY24 berada di bawah jangkaan, MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan FY25-FY27 kami menurun sebanyak 5%/5%/2%.
Katanya, perubahan itu juga mengambil kira kedudukan kewangan FY24, ditambah normalisasi daripada kerugian pada FY23.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 70 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








