KUALA LUMPUR 9 Okt - Penyedia rumusan IT, MM Computer Systems Bhd mengemukakan draf prospektusnya kepada Bursa Malaysia bagi penyenaraian di Pasaran ACE.
Langkah tawaran awam permulaan (IPO) ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan serta meningkatkan keterlihatan MM Computer dalam usaha meneruskan fasa pengembangan seterusnya.
Kumpulan merancang menggunakan hasil daripada penyenaraian ini bagi membeli perkakasan dan perisian IT bagi menyokong projek berskala besar, meningkatkan keupayaan teknikal dan tenaga kerja melalui pengambilan serta pensijilan profesional, membayar sebahagian pinjaman bank berkaitan ibu pejabat baharu kumpulan, serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Macken Young berkata penyenaraian di Pasaran ACE merupakan langkah penting dalam rancangan pertumbuhan strategik kumpulan, yang bakal mengubah MM Computer daripada penyedia rumusan IT yang mapan kepada kumpulan teknologi berorientasikan pertumbuhan.
“Langkah ini membolehkan kami merebut peluang daripada permintaan pasaran yang semakin meningkat dalam ekonomi digital Malaysia, memperkukuh keupayaan kami, dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tawaran awam permulaan ini akan melibatkan terbitan awam sebanyak 119 juta saham baharu serta penjualan 47.34 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah terbitan awam itu, 28.35 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia untuk permohonan terbuka.
Sebanyak 28.35 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan MM Computer dan anak-anak syarikatnya.
Selain itu, 38.76 juta saham akan diperuntukkan secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 23.53 juta saham akan ditempatkan secara persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, tawaran untuk jualan akan melibatkan 47.34 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.
Latihan penyenaraian ini dikendalikan oleh Malacca Securities Sdn Bhd sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan, dengan SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan korporat.
Menerusi anak syarikat milik penuhnya, Micro Technology Solution Sdn Bhd dan SMIND Sdn Bhd, MM Computer menyediakan rumusan IT menyeluruh yang merangkumi infrastruktur dan rangkaian IT, rumusan keselamatan siber, serta perkhidmatan penyumberan luar IT.
Dengan 22 tahun pengalaman operasi, kumpulan ini melayani pelbagai pelanggan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan dan korporat.
MM Computer turut bekerjasama rapat dengan rakan teknologi utama seperti Dell Technologies, Trend Micro, Hewlett Packard Enterprise (HPE), IBM, Sangfor Technologies dan Ruijie Networks bagi menyediakan rumusan digital yang selamat dan berskala.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, MM Computer mencatatkan hasil sebanyak RM73.7 juta dan keuntungan bersih RM8.7 juta, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam bidang reka bentuk, pelaksanaan dan konfigurasi rumusan IT, serta penyediaan perkhidmatan penyumberan luar IT.
Pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi pelanggan terhadap keupayaan kumpulan dalam mereka bentuk, melaksanakan, mengkonfigurasi dan mengurus infrastruktur IT yang kompleks. - DagangNews.com








