KUALA LUMPUR 11 Mei – MM Computer Systems Berhad (MMCS) menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM26.18 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga RM0.22 sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 11 Jun 2026.
Melalui IPO tersebut, MMCS menerbitkan sebanyak 166.34 juta saham biasa, merangkumi 119 juta saham baharu dan 47.34 juta saham tawaran jualan oleh pemegang saham sedia ada.
Hasil IPO itu akan digunakan bagi pengembangan keupayaan pelaksanaan projek, pembelian perkakasan dan perisian IT, pengukuhan tenaga kerja teknikal, pembangunan kapasiti operasi serta pembayaran balik pinjaman bank.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MM Computer Systems Berhad, Young Yoong Chang berkata pelancaran tersebut menandakan peralihan syarikat ke pasaran utama, disokong oleh rekod prestasi kumpulan dalam menyediakan rumusan IT perniagaan dan keselamatan siber kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perniagaan di seluruh Malaysia.
“Persekitaran industri IT kini menjadi lebih kompleks, meluas serta semakin sensitif terhadap aspek keselamatan, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap penyelesaian teknologi yang lebih kukuh dan bersepadu.
“Selama lebih dua dekad, MMCS telah membangunkan keupayaan merangkumi infrastruktur IT, rangkaian, keselamatan siber serta perkhidmatan penyumberan luar IT bagi menyokong keperluan digital jangka panjang pelanggan serta operasi IT misi kritikal.
“Dengan peningkatan keperluan pendigitalan perniagaan dan keselamatan siber, MMCS berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong perkembangan ekosistem IT yang lebih sofistikated di sektor awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Kajian pasaran bebas turut mengunjurkan sektor infrastruktur IT dan rangkaian di Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 18.5% antara 2026 hingga 2028, manakala perkhidmatan awan dan keselamatan siber masing-masing diunjur berkembang pada 20.0% dan 15.9%.
Permohonan IPO itu dibuka pada 11 Mei 2026 dan akan ditutup pada 25 Mei 2026, dengan proses pengundian dijadualkan pada 28 Mei 2026 sebelum penyenaraian rasmi pada 11 Jun 2026 di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan itu beroperasi melalui anak syarikat milik penuh iaitu Micro Technology Solution Sdn Bhd (MTS) dan SMIND Sdn Bhd, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) perniagaan.
MMCS merupakan penyedia perkhimatan IT menyeluruh yang merangkumi infrastruktur IT, rangkaian, keselamatan siber serta perkhidmatan penyumberan luar IT kepada pelanggan korporat.
Selain itu, kumpulan turut menawarkan perkhidmatan sokongan teknikal, penyelenggaraan sistem serta penempatan jurutera IT di premis pelanggan bagi menyokong operasi sistem kritikal pelanggan.
Keupayaan MMCS diperkukuh melalui model pelbagai jenama yang membolehkan penyelesaian disesuaikan mengikut keperluan operasi, bajet dan tahap keselamatan pelanggan.
Syarikat mempunyai hubungan jangka panjang dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan besar serta badan korporat, dengan GLC menyumbang 49.76% kepada hasil bagi tahun kewangan 2025.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, MMCS mencatatkan pendapatan sebanyak RM98.68 juta, meningkat 33.88% berbanding RM73.71 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai turut meningkat 16.46% kepada RM10.12 juta, manakala keuntungan kasar kumpulan berjumlah RM21 juta.
Sehingga 13 April 2026, kumpulan itu mempunyai 105 projek aktif dengan nilai pendapatan belum diiktiraf sebanyak RM80.83 juta.
Selain itu, MMCS turut menyertai beberapa tender baharu dengan jumlah nilai anggaran RM127.13 juta yang masih dalam proses penilaian.
Bagi pelaksanaan IPO ini, MMCS melantik Malacca Securities Sdn Bhd sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan, manakala SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd dilantik sebagai Penasihat Kewangan Korporat.
IPO tersebut turut mendapat sokongan daripada rangkaian prinsipal dan pengedar global termasuk Dell Technologies Inc., Trend Micro Inc., Hewlett Packard Enterprise Co. (HPE), International Business Machines Corporation (IBM), Sangfor Technologies Inc. dan Ruijie Networks Co. Ltd.- DagangNews.com








