MISC berpotensi beri dividen lebih tinggi mulai 2025 disokong projek di Brazil, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC berpotensi beri dividen lebih tinggi mulai 2025 disokong projek di Brazil, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - MISC Bhd berpotensi membayar dividen lebih tinggi mulai tahun ini dan seterusnya didorong peningkatan aliran tunai daripada projek di Brazil, kata Maybank Ivestment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Mero-3 menerima kontrak di medan luar pesisir pantai Brazil dan memperoleh kadar sewa sebanyak AS$595,000 sehari mulai 30 Oktober 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kapal itu sudah mencapai pengeluaran minyak pertama pada Oktober 2024.   

 

"Ia akan meningkatkan aliran tunai MISC dan berpotensi diterjemahkan kepada pembayaran dividen yang lebih tinggi bermula 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB meramalkan pembayaran dividen tahunan MISC antara 2025 hingga 2027 adalah sebanyak 36 sen.

 

Katanya, kontrak Mero-3 sebelum ini telah ditangguhkan selama beberapa bulan sebelum penghantarannya ke Brazil dan di bawah kontrak itu, FPSO itu mempunyai tempoh penyewaan selama 22 tahun setengah dari tarikh penerimaan akhir oleh Petroleo Brasileiro SA, lebih dikenali sebagai Petrobras.

 

Secara rasmi dinamakan sebagai FPSO Marechal Duque de Caxias, FPSO itu boleh menghasilkan sehingga 180,000 tong minyak dan memproses sehingga 12 juta meter padu gas sehari, serta menyimpan 1.45 juta tong minyak.

 

Walaupun merekodkan peruntukan kos tambahan AS$150 juta (RM664 juta) pada suku akhir 2024, firma penyelidikan itu yakin MISC akan bermula pada tahap baharu bagi segmen unit perniagaan luar pesisirnya pada 2025.

 

Selepas minyak pertama Mero-3, MISC berjaya mengurangkan risiko projek dan penghantaran serta lebihan kos, kata firma itu, sambil menambah, penghantaran jugaakan mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan bagi membida pekerjaan baharu dalam kitaran naik FPSO global semasa.

 

Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan menyatakan hasil dividen 5% akan menyokong harga saham kumpulan. 

 

Walaupun saham MISC merosot kira-kira 6% sejak permulaan 2025, penganalisis secara amnya yakin pada saham, dengan 12 "beli", dua "pegang", dan tiada saranan "jual".- DagangNews.com