KUALA LUMPUR 12 Mac - MIDF Research menjangkakan minat belian ke atas hartanah kekal berdaya tahan pada 2025 walaupun permohonan pinjaman merosot sebanyak 12.3% kepada RM44.8 bilion pada Januari lalu selepas mencatatkan kenaikan antara Oktober hingga Disember 2024.
Katanya, pada asas bulanan, permohonan pinjaman lebih rendah sebanyak 5.1% dari bulan ke bulan pada Januari 2025 disebabkan permohonan pinjaman yang lebih rendah akibat cuti sekolah dan cuti umum Tahun Baharu Cina.
"Kami menjangkakan permohonan pinjaman tidak berubah pada Februari 2025 kerana tempoh singkat pada Februari dan seterusnya berkembang lebih kukuh dari Mac 2025 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual di Malaysia meningkat kepada 23,149 unit pada suk eempat 204 daripada 21,968 unit dalam suku ketiga 2024.
Katanya, kediaman tidak terjual yang lebih tinggi dalam suku eempat 2024 disebabkan peningkatan dalam kediaman tidak terjual di Kuala Lumpur yang meningkat kepada 4,234 unit dalam suku keempat 2024 daripada 3,273 unit pada suku ketiga 2024.
Kuala Lumpur menyumbang kepada kediaman tidak terjual tertinggi pada suku keempat 2024 iaitu 4,234 unit, diikuti Johor (2,964 unit) dan Perak (2,844 unit).
"Walaupun terdapat peningkatan dalam kediaman tidak terjual pada suku keempat 2024, kami berpendapat bahawa hartanah tidak terjual di Malaysia kekal sihat kerana kediaman tidak terjual kekal di bawah purata tiga tahun iaitu 27,000 unit.
"Sementara itu, hartanah tidak terjual di Johor bertambah baik dengan kediaman tidak terjual lebih rendah susut daripada 3,030 unit dalam suku ketiga 2024 kepada 2,964 unit pada suku keempat 2024.
"Begitu juga, apartmen servis tidak terjual di Johor merosot kepada 10,624 unit dalam suku keempat 2024 daripada 11,810 unit dalam suku ketiga 2024 berikutan sentimen yang bertambah baik di pasaran hartanah Johor," katanya.
MIDF Research kekal positif terhadap sector itu kerana ia dijangka menerima manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data dan hartanah perindustrian di Malaysia yang akan membuka kunci nilai bank tanah pemaju hartanah.
Selain itu, kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3% yang sepatutnya kekal menyokong minat belian ke atas hartanah.- DagangNews.com








