KUALA LUMPUR 19 Jun - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd memperoleh kemenangan mutlak dalam pertikaian undang-undang yang dengan Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC), selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan KPOC untuk mendapatkan kebenaran rayuan terhadap keputusan terdahulu oleh Mahkamah Rayuan.
Keputusan sebulat suara oleh mahkamah tertinggi negara itu menamatkan pertikaian undang-undang yang telah berlangsung lebih enam tahun.
Pertikaian itu berkisar kepada dakwaan berkaitan injap rosak yang didakwa dibekalkan untuk projek gas Kebabangan di perairan Sabah.
KPOC yang merupakan unit operasi milik penuh ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, sebuah anak syarikat syarikat tenaga global ConocoPhillips, sejak 21 Januari tahun ini. Sebelum itu, ConocoPhillips Sabah mengendalikan KPOC bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell Energy Asia Ltd.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MHB berkata, Mahkamah Persekutuan telah memerintahkan KPOC membayar kos sebanyak RM30,000 kepada MHB.
Katanya, keputusan mahkamah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan kewangan atau operasi yang material kepada syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pertikaian itu bermula pada Mac 2019 apabila MHB menerima notis timbang tara daripada KPOC, yang mendakwa bahawa MHB telah melanggar obligasi kontrak dengan membekalkan injap yang rosak untuk digunakan dalam projek medan luar pesisir Kebabangan.
KPOC mendakwa, injap tersebut menyebabkan kerugian besar dan pada awalnya menuntut ganti rugi sebanyak RM93.1 juta. Tuntutan itu kemudiannya disemak semula kepada RM58.9 juta semasa penghujahan akhir pada Mac 2021.
Tribunal timbang tara telah mengeluarkan anugerah akhir pada 23 Julai 2021, memerintahkan MHB membayar KPOC sebanyak RM28.09 juta sebagai ganti rugi bagi kos perbelanjaan yang ditanggung oleh KPOC.
Bagaimanapun, tribunal menolak tuntutan KPOC sebanyak RM28.03 juta bagi kehilangan hasil pendapatan.
Susulan itu, MHB mencabar anugerah tersebut dengan hujah, ia telah dibuat dengan melanggar prinsip keadilan semula jadi. Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi bersetuju dan membatalkan anugerah akhir tersebut.
KPOC kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu, tetapi Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut pada 24 Januari dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada MHB.
KPOC diperintahkan membayar kos sebanyak RM65,000. Masih berusaha mendapatkan keadilan, KPOC kemudiannya memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan. - DagangNews.com








