KUALA LUMPUR 13 Mei – Metronic Global Berhad melupuskan aset industri miliknya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor berharga RM9.42 juta, menerusi anak syarikatnya, Metronic Engineering Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, penjualan itu sekali gus mencerminkan strategi syarikat beralih kepada model perniagaan aset ringan bagi memperkukuh aliran tunai.
Perjanjian jual beli itu dimeterai dengan Twin Hydraulics Engineering Sdn Bhd pada 12 Mei 2026 bagi pelupusan tanah perindustrian pegangan bebas bersama kilang separa berkembar tiga tingkat.
"Hartanah ini berkeluasan 2,214 meter persegi itu mempunyai nilai pasaran RM8.5 juta berdasarkan penilaian bebas oleh IPC Island Property Consultant Sdn Bhd pada 12 November 2024," kata Metronic.
Menurutnya, cadangan pelupusan itu dijangka menjana keuntungan bersih sekitar RM1.08 juta selepas ditolak cukai keuntungan hartanah (RPGT), dan diunjur dapat mengurangkan beban operasi syarikat.
Hartanah yang berusia 25 tahun itu kini tidak digunakan sepenuhnya susulan langkah penstrukturan operasi termasuk pengurangan pekerja, amalan kerja jarak jauh serta pengoptimuman ruang kerja.
Pelupusan ini membolehkan Metrnonic mengurangkan kos tetap berkaitan hartanah seperti bil utiliti, insurans, caj penyelenggaraan dan cukai taksiran tempatan selain meningkatkan kecekapan operasi.
"Sebahagian besar hasil penjualan aset tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk modal kerja yang berjumlah RM5.78 juta dan pembayaran balik pinjaman bank kira-kira RM3.07 juta," tambahnya lagi.
Hartanah tersebut kini dicagarkan kepada Malayan Banking Berhad sebagai sekuriti bagi kemudahan perbankan Metronic Engineering yang memiliki baki tertunggak keseluruhan RM7.67 juta setakat ini.
Lembaga pengarah kumpulan tersebut ujarnya, berpandangan yang cadangan pelupusan berkenaan adalah adil, munasabah serta demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang saham minoriti.
Sehubungan itu, cadangan transaksi pelupusan itu dijangka dapat diselesaikan pada suku kedua tahun kewangan 2027 sekiranya tiada masalah besar yang berlaku. - DagangNews.com








