Metrod jual kilang acuan tembaga kepada Sam Dong Ohio pada harga RM18 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Metrod jual kilang acuan tembaga kepada Sam Dong Ohio pada harga RM18 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Mac - Metrod Holdings Berhad melupuskan Kilang Acuan Tembaga milik anak syarikat milik penuhnya, Metrod (Malaysia) Sdn. Bhd., pada harga AS$4.625 juta (RM17.99 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, syarikat itu berkata, perjanjian jual beli (SPA) dimeterai pada 27 Februari 2026 dengan Sam Dong Ohio, Inc. yang diperbadankan di Amerika Syarikat.

 

Pelupusan tersebut melibatkan Kilang Acuan Tembaga yang terletak di 3, Lengkuk Keluli 2, Bukit Raja Prime Industrial Park, Klang, yang menghasilkan rod tembaga bebas oksigen.

 

Metrod berkata, pertimbangan tunai sebanyak AS$4.625 juta (RM17.99 juta) ditentukan berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang rela, selepas mengambil kira keadaan aset serta keadaan pasaran semasa.

 

Pelupusan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan penggunaan aset dan merasionalisasikan kapasiti pengeluaran.

 

Penjualan tersebut membolehkan kumpulan mengewangkan aset yang kurang digunakan dan menyalurkan semula hasilnya kepada inisiatif yang lebih strategik.

 

Syarikat menjelaskan tiada kesan material terhadap kapasiti pengeluaran rod tembaga kumpulan berikutan kapasiti mencukupi di loji Continuous Copper Rod miliknya.

 

Hasil pelupusan akan digunakan sepenuhnya sebagai modal kerja dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman.

 

Dari segi kewangan, transaksi berkenaan tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat. Bagaimanapun, ia dijangka memberi impak positif kepada keuntungan bersih serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026.

 

Sam Dong Ohio, Inc. merupakan antara pengeluar terbesar tembaga bebas oksigen di Amerika Utara, menawarkan pelbagai produk termasuk rod, dawai, jalur, bentuk khas dan dawai berpenebat, serta beroperasi sebagai loji bersepadu penuh merangkumi keseluruhan proses daripada tuangan hingga produk siap.

 

Transaksi itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir suku kedua 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu dalam SPA. - DagangNews.com