Mercury Securities menilai saham Signature International pada RM1.61 dipacu pasaran premium, projek Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities menilai saham Signature International pada RM1.61 dipacu pasaran premium, projek Singapura

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb – Signature International Berhad berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan pasaran hartanah di Asia Tenggara yang semakin meningkat ketika ini, menurut Mercury Securities. 

 

Syarikat itu yang terkenal dengan dapur moden kini telah berkembang menjadi penyedia rumusan peralatan rumah dan kehidupan bersepadu dengan margin keuntungan tinggi melalui penggabungan Corten dan Fiamma Holdings.

 

Mercury Securities menilai Signature dengan nilai wajar RM1.615, berdasarkan purata P/E 10 tahun sejarah syarikat pesaing sebanyak 11.0x, diterapkan pada EPS FY26E sebanyak 14.7 sen. 

 

“Penilaian ini mengambil kira kedudukan syarikat dalam pasaran premium Malaysia dan pertumbuhan di Singapura.

 

“Syarikat kini mengawal keseluruhan proses dari reka bentuk 3D, pembuatan, hingga integrasi perkakas pintar, membolehkan mereka memanfaatkan bahagian perbelanjaan pengguna yang lebih besar dan mengekalkan margin kukuh,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya.

 

Pasaran pejabat Malaysia kini lebih tertumpu kepada premis Gred A dan bersijil hijau, dengan kadar penghunian 80.8 peratus.

 

Firma tersebut berkata Belanjawan 2026 yang memperkenalkan insentif cukai untuk penukaran komersial-ke-kediaman juga membuka peluang pertumbuhan baharu untuk Signature.

 

“Pendapatan antarabangsa Signature, terutamanya melalui Corten di Singapura, menyumbang 32 peratus daripada jumlah pendapatan. Kadar pemilikan rumah di Singapura melebihi 85 peratus, dan perbelanjaan isi rumah untuk perabot meningkat, memberikan lindung nilai pendapatan dalam mata wang dolar negara itu.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan teras tiga tahun (FY25E-FY27E) sebanyak 6 peratus, dengan pertumbuhan pendapatan sekitar 4 peratus setahun,” katanya.

 

Buku pesanan syarikat setakat 30 September 2025 ialah RM1.14 bilion.

 

Mercury Securities berkata margin keuntungan dijangka stabil, dengan margin kasar sekitar 35 peratus, PBT 18 peratus dan PAT 10 peratus.

 

“FY24 menyaksikan pendapatan meningkat kepada RM881.3 juta, naik 43 peratus YoY. Segmen interior fit-out mencatat pertumbuhan lebih 100 peratus kepada RM389.2 juta, hasil daripada pengambilalihan Corten pada November 2022.

 

“Keuntungan bersih teras FY24 pula melonjak 69 peratus kepada RM84.8 juta berbanding RM50.2 juta pada FY23. Pertumbuhan ini disokong oleh pengurusan kos yang baik, pengurangan kerugian penurunan nilai, dan kos kewangan yang stabil.

 

“Aktiviti pembinaan kediaman persendirian di Malaysia meningkat selepas pandemik, dengan nilai kerja yang dilakukan mencapai kira-kira RM10 bilion setakat 3Q2025 turut menyokong permintaan untuk dapur dan pembinaan perabot pasang siap,” katanya.

 

Jumlah isi rumah yang meningkat dan kadar pemilikan rumah 78 peratus pada CY2024 memberi asas stabil untuk permintaan segmen perabot rumah. 

 

“Perbelanjaan isi rumah untuk perabot, perkakas rumah dan penyelenggaraan rutin menyumbang sekitar 4–5 peratus daripada purata bulanan, dengan CAGR kira-kira 4.7 peratus dalam beberapa tahun terakhir, menunjukkan pengguna bersedia berbelanja untuk rumah.

 

“Buku tempahan Signature kekal kukuh pada RM1.14 bilion, menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan dan margin Signature,” kata firma tersebut.

 

Namun ia turut mengingatkan beberapa risiko utama yang mungkin berlaku termasuk kemerosotan pembangunan hartanah di Malaysia dan Singapura, turun naik mata wang asing, pengiktirafan pendapatan projek tertunda, serta pengurangan perbelanjaan isi rumah.

 

Dari perspektif teknikal, saham Signature berada dalam trend menaik sejak Mac 2021. Saham kini bergerak dalam julat RM1.340 hingga RM1.426.

 

“Harga saham Signature menunjukkan trend menaik jangka panjang yang kukuh. Sekiranya harga menembusi purata bergerak dan disokong oleh isyarat positif daripada indikator teknikal seperti RSI dan MACD, saham ini berpotensi untuk memulakan kenaikan semula (rebound) selepas fasa penurunan sementara,” kata firma tersebut. - DagangNews.com