Mega Fortris catat untung bersih lebih RM5 juta pada suku kedua, hasil melonjak 12.1% kepada RM55.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mega Fortris catat untung bersih lebih RM5 juta pada suku kedua, hasil melonjak 12.1% kepada RM55.1 juta

Gambar hiasan dari Facebook Mega Fortris
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Mega Fortris Bhd yang membuat penampilan sulungnya di Bursa pada November 2024, melaporkan untung bersih sebanyak RM5.61 juta bagi suku kedua berakhir pada 31 Disember 2024 (2QFY25).

 

Hasil syarikat pengeluar kunci keselamatan itu bagi 2QFY25 meningkat 12.1% kepada RM55.1 juta, berbanding RM49.16 juta pada suku sebelumnya.

 

Syarikat itu merekodkan harga jualan yang lebih tinggi serta berjaya meningkatkan kuantiti produk yang dijual pada suku tersebut.

 

Walaubagaimanapun, keuntungan bersih Mega Fortris bagi suku itu diterjemahkan kepada pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 0.66 sen iaitu lebih rendah berbanding dengan suku lepas. 

 

Pada suku pertama berakhir September 2024 syarikat itu mencatat EPS sebanyak 1.18 sen apabila kumpulan itu menjana keuntungan bersih sebanyak RM8.23 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan terkumpul berakhir 31 Disember 2024 (6MFY2025), Mega Fortris mencatatkan keuntungan bersih RM13.84 juta, diterjemahkan kepada EPS 1.64 sen berbanding hasil terkumpul RM104.26 juta.

 

Mengenai prospeknya, kumpulan itu kekal berwaspada dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan operasinya di sebalik persekitaran ekonomi dan politik global yang dinamik.

 

“Walaupun kami mendapat manfaat daripada permintaan kunci keselamatan berterusan yang juga dijangka bertambah baik selepas tempoh tinjauan ini, kami terus meningkatkan kecekapan, daya saing serta keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran yang tidak dijangka,” kata Mega Fortris.

 

Mega Fortris mengeluarkan kira-kira 530 juta keping kunci keselamatan setiap tahun, membekalkan produk yang mudah digunakan bagi memerlukan piawaian keselamatan tinggi daripada sektor logistik hingga ke kasino. - DagangNews.com