MCMC siasat video didakwa eksploitasi gelandangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC siasat video didakwa eksploitasi gelandangan

Tangkap layar sebahagian video didakwa mengeksploitasi golongan gelandangan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Oleh HAMDEN RAMLI

CYBERJAYA 5 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan penyebaran video memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

 

MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.

 

Siasatan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai dan penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

 

 

bas

 

 

MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

 

Orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

 

Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588].

 

Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat. - DagangNews.com