KUALA LUMPUR 19 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman sivil terhadap terhadap dua saluran di platform Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Suruhanjaya itu berkata, tindakan itu diambil selepas mendapatai kedua-dua saluran itu didapati menyebarkan kandungan berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Katanya, kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) (ASP(C)).
"Ia berikutan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulangkali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, MCMC berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan seumpamanya.
Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi.
"Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing damn pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama terhadap platfform lain bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan pengguna terus terpelihara.
Suruhanjaya itu juga kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang. - DagangNews.com








