KUALA LUMPUR 14 Nov – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan terhadap pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas selepas mereka gagal memasukkan kehadiran serta pembelaan terhadap tindakan guaman yang difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut MCMC, keputusan mahkamah itu membawa beberapa perintah utama, termasuk deklarasi bahawa pentadbir kedua-dua saluran tersebut telah membenarkan penerbitan dan pengedaran kandungan memudaratkan yang menjejaskan institusi awam serta pegawai awam di negara ini.
“Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir untuk menurunkan serta-merta dan secara kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan yang telah diterbitkan,” katanya hari ini.
Tambahnya, mahkamah juga mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir, termasuk ejen, pekerja atau sekutu mereka, daripada menerbitkan semula atau menyebarkan kandungan sedia ada, serta mengeluarkan kandungan baharu yang bersifat memudaratkan.
Dalam pada itu, katanya, mahkamah turut memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan jumlah ganti rugi am dan teladan pada tarikh yang akan ditetapkan.
Keputusan berkenaan, ujarnya, menegaskan kebebasan bersuara di platform dalam talian tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, ugutan, pemerasan atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat. - DagangNews.com








