KUALA LUMPUR 13 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC berhubung kegagalan memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.
Menurut MCMC, pihaknya telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan. Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” katanya.
MCMC berkata, notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari 2026 yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang, namun tiada tindakan pemulihan diambil setakat ini.
Menurutnya, X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna kerana mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.
“Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi,” katanya.
MCMC berkata, pihaknya mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri, yang berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.
“MCMC kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam. Semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkenaan,” katanya. - DagangNews.com








