MBSB Research: Prospek jangka panjang QL Resources masih positif dijana kekuatan perniagaan makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research: Prospek jangka panjang QL Resources masih positif dijana kekuatan perniagaan makanan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Julai – Prospek jangka panjang QL Resources Berhad kekal positif hasil kekuatan perniagaan makanan mampu milik, pelaksanaan amalan ekonomi kitaran dan strategi daya tahan iklim.

 

Bagaimanapun menurut MBSB Research, kenaikan harga saham kumpulan berkenaan yang dicatatkan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan potensi peningkatan dilihat semakin terhad dalam masa terdekat.

 

Justeru, firma penyelidikan itu menurunkan penarafan kepada 'neutral' dan mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM4.11, kerana berpendapat sebahagian besar prospek pertumbuhan sudah pun diambil kira.

 

"Unjuran hasil terhadap QL Resources tidak berubah, meskipun laporan bersepadu tahun kewangan 2026 menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG)," katanya.

 

MBSB Research merujuk pendedahan isu itu yang menunjukkan kumpulan buat pertama kali melaporkan prestasi mengikut piawaian IFRS S1 dan S2 oleh International Sustainability Standards Board (ISSB).

 

Laporan itu menilai beberapa piawaian antarabangsa termasuk GRI Standards, SASB Standards, TCFD serta Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), sekali gus mencerminkan komitmen syarikat tersebut.

 

QL Resources_DagangNews2026

 

Ujarnya, penambahbaikan meliputi semua segmen utamanya iaitu ternakan bersepadu (ILF), pembuatan produk marin (MPM), rangkaian kedai serbaneka (CVS) serta minyak sawit dan tenaga bersih (POCE).

 

"Penilaian melibatkan 17 anak syarikat itu mengukuhkan daya saing dengan QL Resources merupakan komponen FTSE4Good Index Series selain meraih penarafan BBB daripada MSCI ESG," kata MBSB Research.

 

Firma itu menambah, sumbangan sosial terus diperkukuh menerusi bahan protein mampu milik khususnya telur dan produk makanan laut, selain program C Our Future yang memasuki tahun ketiga pelaksanaan.

 

Sepanjang FY26, program itu membekalkan 95,940 biji telur kepada 20 tabika dan ia memperuntukkan RM15.67 juta bagi inisiatif pengagihan 29,746 hidangan makanan menerusi jaringan cawangan CVS.

 

Dalam aspek ekonomi kitaran ujar MBSB Research, QL Resources mengitar semula 135,194 tan najis ayam menjadi baja organik, serta 25,024 tan sisa perikanan sebagai makanan ikan industri akuakultur.

 

"Ia turut menyumbangkan 10,025 kilogram lebihan makanan serta sedang beralih kepada penggunaan 100% plastik kitar semula gred makanan bagi pembungkusan telur berjenama," jelas firma berkenaan lagi.

 

Bagaimanapun, intensiti penjanaan sisa naik 4.4% pada FY26 berikutan pertambahan pengeluaran dalam segmen ILF, sekali gus menjadi antara cabaran yang perlu terus ditangani syarikat itu. - DagangNews.com