Maybank IB mulakan liputan ke atas Kee Ming dengan saranan Beli, TP RM0.79 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan ke atas Kee Ming dengan saranan Beli, TP RM0.79

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Maybank Investment Bank memulakan liputan terhadap Kee Ming Group dengan saranan beli dan sasaran harga RM0.79.

 

Firma penyelidikan itu berkata Kee Ming dijangka mendapat manfaat daripada pengembangan pelaburan langsung asing (FDI), pembangunan pusat data (DC), dan kapasiti solar tenaga boleh diperbaharui (RE), sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

“Kee Ming mempunyai kepakaran menyeluruh dalam mekanikal dan elektrik, termasuk perkhidmatan dari voltan rendah hingga tinggi, membolehkan syarikat mengendalikan projek pelbagai sektor termasuk industri, DC, dan HV solar interconnection facilities (IF). 

 

“Solarvest Holdings Bhd, yang memiliki 23.85% saham Kee Ming dijangka menjadi rakan strategik penting. Kerjasama ini membolehkan Kee Ming mengambil alih sebahagian kerja IF daripada projek LSS5 dan LSS5+ Solarvest. 

 

“Projek Kuala Muda bernilai RM38 juta kini sedang dijalankan, manakala potensi projek IF lain dijangka bernilai RM390 juta hingga RM510 juta bagi FY27–28E, memberikan aliran projek stabil untuk pengisian semula pesanan Kee Ming,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Kee Ming mencatat pendapatan 9MFY26 sebanyak RM109.6 juta, meningkat 76% berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih teras naik 56% kepada RM12.9 juta, disokong oleh pengiktirafan hasil daripada projek DC pertamanya di Sedenak bernilai RM28 juta. 

 

Maybank IB berkata syarikat itu dijangka mencatat CAGR keuntungan 41% bagi tempoh FY25–28E, disokong oleh projek industri, DC, dan HV solar IF.

 

“Pendapatan pula dijangka berkembang pada kadar CAGR 93% dalam tempoh yang sama, sejajar dengan prospek pasaran M&E Malaysia yang berkembang daripada RM10.9 bilion pada 2025 kepada RM16.8 bilion pada 2029.

 

“Selepas IPO, Kee Ming menumpukan strategi kepada pengembangan dalam pasaran M&E tempatan dan pengembangan tenaga kerja untuk menyokong projek berskala lebih besar, sambil meneruskan pengembangan dalam projek industri, DC M&E, dan HV solar IF,” katanya. 

 

t

 

Namun begitu, Maybank IB berkata beberapa risiko yang perlu diberi pehatian termasuk pelaksanaan projek, tekanan margin akibat persaingan, dan gangguan rantaian bekalan bahan mentah seperti kabel kuprum, aluminium, dan besi.

 

Pada perkembangan yang lain, penampilan sulung Kee Ming di Pasaran ACE Bursa Malaysia mendapat sambutan memberangsangkan apabila sahamnya dibuka pada RM0.79 mewakili premium 107.89% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.38.

 

Dengan pengalaman lebih 13 tahun, Kee Ming menawarkan perkhidmatan kejuruteraan menyeluruh termasuk reka bentuk, fabrikasi, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan untuk sektor perindustrian, komersial dan kediaman.

 

Perkhidmatan teras merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV), sistem perlindungan kebakaran, solar PV, infrastruktur pengecasan EV dan kemudahan interkoneksi di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Melalui IPO, Kee Ming mengumpul kira-kira RM25.32 juta daripada penerbitan 66.63 juta saham baharu pada harga RM0.38 sesaham. 

 

Dana tersebut akan digunakan untuk modal kerja projek, bon prestasi, pengembangan pasukan projek, pembelian sistem perancangan sumber perusahaan (ERP), modal kerja am serta menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan IPO.

 

Pengarah Urusan Kee Ming, Ir. Liew Kar Hoe berkata penyenaraian itu adalah satu detik penting dalam perjalanan korporat Kee Ming. 

 

“Penerimaan pasaran yang positif mengesahkan keyakinan pelabur terhadap kepakaran kejuruteraan dan strategi pertumbuhan kami. 

 

“Dengan dana yang dikumpul, kami bersedia melaksanakan projek lebih besar dan kompleks sambil terus menyediakan penyelesaian kejuruteraan yang selamat dan berkualiti tinggi,” katanya.

 

TA Securities Holdings bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO, manakala Eco Asia Capital Advisory bertindak sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com