KUALA LUMPUR 24 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengeluarkan empat waran berstruktur baharu berkaitan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) yang didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives.
Katanya, waran itu tersedia untuk didagangkan mulai Jumaat, meletakkan Maybank IB sebagai antara pengeluar pertama instrumen kewangan itu yang merujuk kepada komoditi.
Pada 2 Januari 2024, Bursa Malaysia secara rasmi mengklasifikasikan kontrak niaga hadapan komoditi sebagai 'sekuriti' di bawah Bab 5 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Pengelasan semula itu membolehkan kontrak niaga hadapan untuk komoditi seperti minyak sawit mentah (MSM), minyak mentah dan emas menjadi aset asas bagi waran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Oh-Lau berkata, pengenalan waran berstruktur niaga hadapan komoditi menawarkan kepelbagaian dan pilihan untuk pelabur, membolehkan mereka meluaskan pendedahan melangkaui pelaburan ekuiti tradisional.
"Kami teruja untuk menjadi antara pengeluar pertama waran berstruktur ke atas FCPO, menandakan perkembangan ketara dalam pasaran modal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maybank IB berkata, ketersediaan waran berstruktur FCPO membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada pergerakan harga MSM melalui akaun dagangan saham tempatan.
Katanya, waran berstruktur merupakan instrumen kewangan yang datang tanpa panggilan margin, dengan itu mengehadkan kerugian pada modal awal.
Bagi memberi sokongan kepada pelabur, Maybank IB menyediakan alat Live Matrix di tapak web warannya untuk membantu pengguna menilai harga bida/permintaan indikatif pada paras harga FCPO yang berbeza.
Alat itu meningkatkan ketelusan dan membantu dalam pengurusan risiko untuk masuk dan keluar.
Kontrak FCPO di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) didenominasikan dalam ringgit dan telah menjadi penanda aras harga global bagi pasaran minyak sawit mentah sejak Oktober 1980.
Sepanjang empat dekad yang lalu, FCPO digunakan secara aktif oleh peserta dalam industri minyak dan lemak yang boleh dimakan untuk pengurusan risiko, serta pengurus dana dan institusi kewangan untuk menyemak turun naik harga pasaran.
Pada Oktober 2024, volum dagangan bulanan di Bursa Malaysia Derivatives mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 2.34 juta kontrak, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 2.13 juta kontrak yang ditetapkan pada Mac 2020.
Peningkatan itu didorong volum dagangan bulanan FCPO sebanyak 2.03 juta kontrak, melebihi rekod sebelumnya sebanyak 1.71 juta kontrak pada Jun 2021. - DagangNews.com








