KUALA LUMPUR 15 Mei – Maxland Bhd membatalkan dua perjanjian pajakan tanah di Kedah yang sebelum ini dirancang untuk pembangunan projek pusat data dan sistem penyejukan berpusat selepas melakukan semakan semula strategi perniagaan kumpulan.
Perjanjian itu dimeterai melalui anak syarikat milik tidak langsungnya, Maxland Data Sdn Bhd pada Disember 2024 bersama Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd bagi sebidang tanah seluas 1.85 hektar (4.57 ekar) di Zon Perindustrian Fasa 2, Kulim Hi-Tech Park dengan nilai RM9.95 juta untuk projek pusat data.
Selain itu, anak syarikat milik penuh Maxland iaitu Maxland Kool Sdn Bhd, turut menandatangani perjanjian pada Februari 2025 bersama KTPC bagi pajakan tanah seluas 1.97 hektar (4.85 ekar) di kawasan industri sama pada nilai RM10.57 juta untuk pembangunan sistem penyejukan berpusat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Maxland berkata kedua-dua anak syarikat berkenaan telah menandatangani surat pembatalan dengan KTPC bagi memansuhkan perjanjian pajakan tersebut secara persetujuan bersama.
Syarikat itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat oleh lembaga pengarah selepas menjalankan semakan strategik yang mendapati tanah berkenaan tidak lagi sejajar dengan pelan pelaburan dan hala tuju baharu kumpulan.
Maxland menegaskan langkah itu adalah sebahagian daripada strategi perniagaan yang disemak semula serta usaha mengoptimumkan peruntukan modal dan sumber kumpulan bagi projek yang lebih berpotensi.
Walaupun dibatalkan, kumpulan akan menerima balik sebahagian bayaran selepas potongan dan caj berkaitan, dengan anggaran pulangan sekitar RM652,745 bagi pajakan pertama dan RM743,717 bagi pajakan kedua.
Syarikat itu turut menjelaskan pembatalan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026.
Untuk rekod, Maxland yang sebelum ini dikenali sebagai Priceworth International Bhd kini terlibat dalam perniagaan utama termasuk penjualan produk kayu diproses serta perkhidmatan pembinaan dan pembaikan kapal.
Dalam masa yang sama, juruaudit luar telah menzahirkan kebimbangan terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan selepas kumpulan mencatat kerugian bersih RM10.9 juta serta liabiliti semasa bersih RM29.5 juta bagi tempoh berakhir 30 November 2025.
Bagi menyokong kedudukan kewangan, Maxland menyatakan pelan penambahbaikan termasuk aktiviti pengumpulan dana seperti penukaran waran dan terbitan hak selain usaha penambahbaikan operasi bagi mengurangkan kerugian dan liabiliti.
Dari segi kedudukan tunai, kumpulan mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM1.36 juta berbanding jumlah pinjaman sebanyak RM16.95 juta setakat akhir Februari lalu.
Bagi suku pertama berakhir 28 Februari 2026, Maxland mencatat kerugian bersih RM2.72 juta dengan hasil RM12.41 juta, terkesan daripada pengeluaran rendah serta harga jualan yang lemah dalam keadaan pasaran kayu yang tidak memberangsangkan. - DagangNews.com








