KUALA LUMPUR 21 Mac - Maxis Bhd dilihat kembali berada dalam trajektori pertumbuhan untuk hasil perkhidmatan dan keuntungan bersih, manakala perbelanjaan modal (capex) dijangka berada pada tahap rendah sementara menunggu kepastian mengenai pelan pelaksanaan 5G syarikat itu.
CGS International (CGSI) Research percaya, Maxis mempunyai beberapa pilihan untuk menyediakan perkhidmatan 5G, tetapi keputusan mengenainya mungkin mengambil masa disebabkan kerumitan pelaksanaan tersebut.
Susulan keputusan suku keempat 2024 (4Q24) Maxis, CGSI Research menaikkan anggaran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY26 sebanyak 6.3% dan 5.4%, bersama-sama dengan semakan naik unjuran hasil perkhidmatan.
Untuk FY24 hingga FY27, CGSI Research menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) hasil perkhidmatan sebanyak 2%, yang seterusnya akan menyokong CAGR keuntungan bersih teras sebanyak 3.4% sepanjang tempoh yang sama.
Firma penyelidikan itu menangguhkan anggaran capexnya, menjangkakan perbelanjaan yang perlahan sehingga Maxis menetapkan strategi pelaksanaan 5G yang jelas, selaras dengan panduan capex FY25 yang kurang daripada RM1 bilion.
CGSI Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Maxis dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM3.93 sesaham berikutan perubahan pada ramalan mereka.
Harga saham semasa Maxis adalah RM3.19, merosot 55.8% berbanding penurunan 15.9% FBM KLCI sepanjang 10 tahun lalu.
Bagi pelaksanaan 5G, CGSI Research melihat ia sebagai pemangkin utama untuk penilaian semula saham Maxis.
"Walaupun ini mungkin mengambil masa sehingga 18 bulan, hasil dividen FY25 sebanyak 5.6% memberikan pulangan yang sihat.
"Risiko utama yang disebutkan bagi saranan ini adalah pengambilalihan yang mahal, yang boleh memberi kesan negatif terhadap keuntungan dan pembayaran dividen, serta peningkatan tekanan persaingan dalam pasaran telekomunikasi," katanya dalam satu nota kajian.
Sejak U Mobile memimpin pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia, Maxis yang sebelum ini diandaikan oleh CGSI Research untuk menerajui usaha itu, kini mempunyai beberapa pilihan termasuk kekal sebagai pemegang saham bersama dengan Celcom Digi Bhd dalam rangkaian Digital Nasional Bhd.
Sebagai alternatif, CGSI Research berkata, Maxis boleh bekerjasama dengan U Mobile untuk rangkaian kedua, beroperasi sebagai pengendali rangkaian maya mudah alih dengan menyewa kapasiti dari satu atau kedua-dua rangkaian 5G, atau bergabung dengan U Mobile untuk menguruskan rangkaian kedua bersama-sama.
"Walaupun penggabungan mungkin masuk akal, ia bergantung kepada harga, struktur pegangan saham dan dividen selepas penggabungan," jelasnya.
CGSI Research mengandaikan Maxis akan menyewa kapasiti 5G selama sekurang-kurangnya dua tahun dan memperluas perbelanjaan modal untuk membina kapasiti 5G sendiri bermula FY26.
Bagaimanapun, ia tidak mengambil kira sebarang pelaburan ekuiti tambahan dalam rangkaian baharu. - DagangNews.com








