Maxis dan Nokia perluas kerjasama sediakan rumusan rangkaian pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis dan Nokia perluas kerjasama sediakan rumusan rangkaian pusat data

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Maxis melanjutkan kerjasama dengan Nokia untuk menyediakan rumusan rangkaian pusat data tercanggih kepada perusahaan, penyedia infrastruktur skala besar dan penyedia perkhidmatan seperti aplikasi atau platform dalam talian (OTT).

 

Kerjasama itu melibatkan inisiatif pasaran bersama untuk melengkapkan pihak berkenaan dengan keupayaan rangkaian yang lebih berskala, selamat dan automatik untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan. 

 

Dengan menggabungkan ketersambungan berprestasi tinggi Maxis dan Fabrik Pusat Data berkuasa AI daripada Nokia, ia membolehkan pengendali pusat data meningkatkan kecekapan, automasi dan daya tahan dalam persekitaran awan mereka.

 

Selaras dengan penggunaan AI dan awan yang semakin meningkat, kerjasama itu akan membantu mengoptimumkan operasi pusat data, menyokong aplikasi yang dipacu AI dan meningkatkan akses kepada kemudahan digital yang selamat dan berkependaman rendah.

 

Perkongsian tersebut menampilkan komitmen Maxis Business, bahagian B2B Maxis, untuk memastikan perniagaan bersedia untuk masa depan, disokong oleh rumusan kesalinghubungan dan berkaitan ketersambungan yang tepat di sekitar awan, internet kebendaan (IoT), perkhidmatan terurus dan keselamatan siber.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata, perkembangan pesat AI dan teknologi awan menjana peluang baharu dan pertumbuhan dalam landskap awan dan pusat data. 

 

"Kerjasama dengan Nokia ini akan menyokong usaha berterusan kami untuk menyediakan rumusan rangkaian generasi akan datang kepada pelanggan kami. 

 

"Maxis Business berhasrat untuk menjadi rakan ketersambungan pilihan untuk pusat data dan perniagaan yang bergantung kepada perkhidmatan awan dan data, membolehkan mereka mencapai kecemerlangan operasi dan pertumbuhan perniagaan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan susulan pengumuman 
kerjasama itu.

 

Ia dimeterai dalam sebuah majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di Pavilion Malaysia bagi Kongres Dunia Mudah Alih 2025 di Barcelona, Sepanyol, disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching.

 

Naib Presiden dan Ketua Rangkaian IP untuk Nokia Asia Pasifik, Kent Wong menyifatkan, pihaknya gembira untuk bekerjasama dengan Maxis bagi menyediakan rumusan rangkaian pusat data yang canggih dengan sistem pengendalian rangkaian SR Linux dan Event-Driven Automation. 

 

"Kerjasama ini mendorong Maxis ke arah matlamatnya untuk menjadi peneraju dalam AI, pusat data dan ketersambungan awan. 

 

"Bersama Maxis, kami menerajui kemajuan teknologi yang memacu pertumbuhan dan kecemerlangan digital di Malaysia," jelasnya.

 

Kerjasama tersebut adalah lanjutan perkongsian kedua-dua pihak dengan Nokia yang baru-baru ini memodenkan kemudahan pusat data Maxis dan kerjasama jangka panjang dalam rangkaian generasi baharu. - DagangNews.com