KUALA LUMPUR 12 Sept – Maxim Global Berhad menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Magna Tiara Development Sdn Bhd bagi pengambilalihan sebuah menara pejabat 9 tingkat secara en-blok, yang dikenali sebagai Southbank Block 6, di Jalan Klang Lama.
Nilai keseluruhan urus niaga berjumlah RM29.5 juta tunai dan pembelian akan dibuat secara ‘as is where is’, iaitu dalam keadaan sedia ada dan bebas daripada sebarang bebanan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bangunan berkeluasan kira-kira 43,475 kaki persegi (atau 4,039 meter persegi) dan terletak di lokasi strategik dengan keterlihatan tinggi di sepanjang Jalan Klang Lama, yang merupakan antara laluan paling sibuk dan berkembang pesat di ibu negara.
Maxim Global menjelaskan pengambilalihan ini merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan imej dan kehadiran korporat syarikat, dengan memiliki ibu pejabat sendiri di lokasi premium.
“Menara pejabat ini bukan sahaja bakal meningkatkan penjenamaan dan keterlihatan korporat, malah turut menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif bagi kakitangan kami,” menurut syarikat dalam kenyataan.
Katanya, langkah ini dijangka meningkatkan kepuasan kerja, memperkukuh kebajikan pekerja serta menyokong usaha pengekalan bakat, sejajar dengan perancangan pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Pemilikan bangunan itu akan memudahkan urusan operasi, serta menjadi asas kepada pengembangan perniagaan dan penstrukturan dalaman pada masa akan datang.
“Cadangan pengambilalihan ini selaras dengan visi kami untuk membangun secara mampan, sambil memastikan kemudahan fizikal menyokong keperluan operasi yang semakin berkembang,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








