KUALA LUMPUR 19 Feb - Mastercard melancarkan Trace Financial Crime (TRACE) di Asia Pasifik, satu rumusan baharu menggunakan kecerdasan buatan untuk mengesan dan menghalang pengubahan wang haram dan jenayah kewangan.
TRACE menggunakan data pembayaran yang terkini dari pelbagai institusi kewangan, membolehkan pihak berkuasa menjejaki jenayah kewangan melalui rangkaian pembayaran.
Dengan populariti Pembayaran Masa Sebenar (RTP) yang semakin meningkat di Asia Pasifik, lebih ramai orang dan perniagaan kini boleh membuat transaksi dengan cepat.
Bagaimanapun, kelajuan itu menjadikan sistem pembayaran lebih mudah dieksploitasi oleh penjenayah yang cuba mengubah wang haram dengan memindahkan dana dengan pantas antara akaun.
Kebanyakan bank sebelum ini hanya menggunakan sistem manual atau rumusan AI dalaman yang bergantung kepada data mereka sendiri dan ia membuatkan proses pengesanan jenayah mengambil masa yang lama.
TRACE dibangunkan oleh Mastercard untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cara mengesan corak transaksi yang mencurigakan di seluruh rangkaian pembayaran.
Ia memberikan bank dan institusi kewangan amaran awal tentang akaun yang mencurigakan dan membantu mereka mengesan pengirim wang haram atau 'money mules' di seluruh rangkaian pembayaran.
Pelancaran pertama TRACE di Asia Pasifik adalah di Filipina, dengan kerjasama rangkaian bank tempatan BancNet.
BancNet sudah bekerjasama dengan 36 bank tempatan untuk melaksanakan rumusan berkenaan.
Dengan TRACE, bank dapat mengesan dana haram yang tersebar dengan lebih cepat, serta mengenal pasti akaun yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.
Naib Presiden Eksekutif di Mastercard, Matthew Driver berkata, pelancaran TRACE adalah langkah penting untuk melindungi pembayaran masa sebenar dan memerangi jenayah kewangan.
"Dengan memastikan transaksi kekal selamat dan mematuhi peraturan, TRACE membantu melindungi pengguna dan institusi kewangan, sambil membina kepercayaan dalam ekonomi digital.
"Mastercard juga berbangga dapat bekerjasama dengan BancNet dalam pelancaran percubaan di Filipina dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain di seluruh rantau ini untuk melaksanakan TRACE bagi mewujudkan sistem kewangan global yang lebih kuat dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif BancNet, Emmie Reyes pula berkata, seiring dengan penipuan yang semakin canggih, keupayaan pencegahan dan pemantauan berkuasa teknologi canggih juga adalah penting.
"Kerjasama kami dengan Mastercard dan penggunaan TRACE memberi kami serta peserta rangkaian pintar untuk membantu mengesan penipuan dengan lebih pantas, menjadikan pencegahan penipuan lebih berkesan," ujarnya.
United Kingdom adalah satu-satunya pasaran lain di dunia yang telah melaksanakan TRACE.
Dilancarkan oleh Mastercard pada tahun 2018, rumusan itu kini digunakan oleh 21 institusi kewangan dan bank-bank utama, meliputi 90 peratus rangkaian Perkhidmatan Pembayaran Lebih Cepat di United Kingdom.
Sejak pelancarannya, TRACE telah membantu mengenal pasti ribuan akaun pengirim wang haram dan terus membantu menjejaki ratusan akaun pengirim wang haram baharu setiap bulan. - DagangNews.com








