KUALA LUMPUR 18 Nov – Margin keuntungan bersih Aquawalk Group Bhd yang mencecah sekitar 35% sejak dua tahun lalu menjadi tumpuan Apex Securities, sekali gus mendorong firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas pengendali Aquaria KLCC menjelang penyenaraiannya pada Rabu.
Apex Securities dalam nota penyelidikan hari ini, menilai saham Aquawalk sebagai ‘beli’ dengan harga sasaran 51 sen, iaitu kenaikan hampir 65% berbanding harga IPO 31 sen sesaham, didorong keyakinan terhadap pertumbuhan pendapatan yang kukuh sehingga 2027.
Menurut Apex Securities, Visit Malaysia 2026 (VM2026), potensi pelarasan harga tiket serta pendapatan daripada usaha naik taraf dan pengembangan aset bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
Minat pelabur terhadap Aquawalk kekal tinggi dengan bahagian awam terlebih langgan hampir enam kali, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjangnya.
Syarikat itu menyasarkan untuk meraih hampir RM230 juta daripada IPO, dengan separuh hasil diperuntukkan untuk menaik taraf tarikan sedia ada dan membina oceanarium baharu.
Aquawalk kini mengendalikan Aquaria KLCC, Aquaria Phuket iaitu pameran akuarium terbesar di Thailand serta memegang 40% kepentingan dalam Jakarta Aquarium & Safari di Indonesia.
Apex Securities berkata, VM2026 dijangka meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa serta perbelanjaan domestik dan ini memberi kelebihan kepada Aquaria KLCC sebagai tarikan utama di ibu negara.
Firma penyelidikan itu turut menekankan jurang harga yang ketara antara Aquaria KLCC dan Singapore Oceanarium, sekali gus menunjukkan ruang besar untuk pelarasan harga tiket pada masa depan.
“Dengan leverage operasi yang tinggi, sebarang kenaikan harga tiket akan memberi kesan langsung kepada keuntungan bersih, katanya dalam laporan berkenaan.
Naik taraf termasuk pameran penguin baharu yang disasarkan dibuka pada separuh kedua 2026 juga boleh membolehkan Aquawalk menaikkan harga tiket Aquaria KLCC sekitar 10%, menurut Apex Securities.
Secara keseluruhan, Apex Securities mengunjurkan keuntungan bersih Aquawalk berkembang pada kadar purata sekitar 14% setahun sehingga 2027, disokong prestasi operasi yang stabil dan pertumbuhan hasil yang semakin kukuh.
Penyelidikan itu turut menjangkakan visibiliti keuntungan yang mantap membolehkan kumpulan mengekalkan pembayaran dividen 30% daripada keuntungan bersih, bersamaan hasil dividen 2%-3% berdasarkan harga IPO. - DagangNews.com








