Manforce Group rancang pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Manforce Group rancang pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia

Gambar/FB Manforce Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mac - Syarikat pengambilan dan pengurusan pekerja, Manforce Group Bhd, merancang untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP Bursa Malaysia ke Pasaran ACE.

 

M&A Securities Sdn Bhd bagi pihak Manforce berkata, pemindahan itu melibatkan seluruh modal saham yang diterbitkan oleh syarikat. 

 

Pada 6 Mac 2025, modal saham yang diterbitkan oleh Manforce berjumlah RM21.33 juta dengan 319.98 juta saham.

 

"Bagi memudahkan pelaksanaan pemindahan penyenaraian ini, syarikat mencadangkan untuk menggubal perlembagaan baharu bagi menggantikan perlembagaan sedia ada, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE," menurut makluman M&A Securities di Bursa Malaysia.

 

Manforce merancang untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi pemindahan penyenaraian berkenaan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dijadualkan pada suku kedua tahun 2025.

 

Pegangan saham awam Manforce pada 6 Mac 2025 adalah sebanyak 12.3%. 

 

Bagaimanapun, untuk penyenaraian di Pasaran ACE, syarikat perlu memenuhi keperluan pegangan saham awam minimum 25% daripada jumlah saham yang disenaraikan, yang perlu dipegang oleh sekurang-kurangnya 200 pemegang saham awam dengan setiap seorang memegang tidak kurang daripada 100 saham.

 

Pemegang saham utama dan Pengarah Urusan Manforce, Datuk Wong Boon Ming, kini memegang 253.49 juta saham atau 79.2% daripada jumlah saham yang diterbitkan. 

 

Sejumlah 27.20 juta saham atau 8.5% lagi dimiliki oleh isterinya, Datin Lim Gun Kiau, yang juga merupakan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif syarikat tersebut.

 

Syarikat disenaraikan di Pasaran LEAP sejak 11 Disember 2018.

 

Keuntungan Manforce melonjak 218% kepada RM6.26 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos 2024 (FY2024) berbanding RM1.96 juta pada 2023.

 

Pendapatan setiap saham meningkat kepada dua sen daripada 0.6 sen.

 

Pendapatan syarikat turut meningkat 30.12% kepada RM145.45 juta, berbanding RM111.78 juta pada FY2023.

 

Bagi separuh pertama FY2024, syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM87.84 juta.

 

Perkhidmatan pengurusan pekerja asing menyumbang RM58.96 juta atau 67.12% daripada jumlah pendapatan, manakala perkhidmatan buruh merupakan penyumbang pendapatan kedua terbesar, menyumbang RM28.58 juta atau 32.53% daripada jumlah pendapatan.

 

Baki pendapatan termasuk perkhidmatan pengurusan asrama dan perkhidmatan sampingan lain yang menyumbang 0.35% daripada jumlah pendapatan, iaitu RM306,000. - DagangNews.com