KUALA LUMPUR 19 Mei - Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menuntut hampir RM1 bilion daripada syarikat pengeluar pertahanan dari Norway susulan pembatalan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) secara sebelah pihak oleh negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, notis tuntutan tersebut yang dihantar hari ini melibatkan kos langsung berjumlah 126 juta euro atau kira-kira RM583.47 juta, iaitu 95% daripada jumlah bayaran yang telah dibuat bagi kontrak keseluruhan bernilai RM634.7 juta.
“Kita tuntut kos langsung dan kos tidak langsung. Kos langsung sebanyak jumlah yang sudah dibayar, 126 juta euro dan kita juga tuntut kos tidak langsung yang membabitkan jumlah besar.
“Keseluruhan tuntutan itu berjumlah kira-kira RM1 bilion,” katanya selepas lawatan kerja meninjau kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut hari ini. Turut hadir Panglima Tentera Laut, Zulhelmy Ithnain.
Mindef menandatangani kontrak pembelian NSM daripada syarikat pengeluar pertahanan Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) pada 2018, bertujuan untuk dipasang pada enam LCS TLDM, selain naik taraf sistem misil dua kapal lain iaitu KD Jebat dan KD Lekiu.
Khaled berkata, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport tersebut secara unilateral tanpa sebarang rundingan dengan Malaysia walaupun negara telah memenuhi semua obligasi kontrak.
“Kita telah bayar 95% daripada nilai kontrak. Tetapi pada saat akhir, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem tersebut secara unilateral.
“Mereka enggan mengeluarkan lesen eksport atas alasan dasar baharu negara itu yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu dan rakan strategik rapat,” katanya.
Menurut beliau, dasar itu secara praktikal hanya melibatkan negara anggota North Atlantic Treaty Organization (NATO) dan sekutu rapat Norway.
Susulan tindakan tersebut, Khaled berkata isu berkenaan menimbulkan krisis keyakinan terhadap komitmen perdagangan pertahanan antarabangsa Norway.
Beliau turut menggesa negara-negara ASEAN dan negara bukan sekutu rapat Norway supaya mengambil iktibar daripada pengalaman Malaysia sebelum membuat sebarang perolehan pertahanan daripada negara itu.
“Apabila komitmen boleh dibatalkan secara sepihak, keyakinan terhadap keseluruhan sistem akan mula terhakis.
“Kita berharap negara-negara ASEAN dan negara lain yang bukan sekutu rapat Norway mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku kepada Malaysia supaya mereka lebih berhati-hati dalam urusan pertahanan dengan Norway,” katanya.
Khaled berkata, kementerian juga telah mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati terhadap sebarang perolehan pertahanan daripada negara yang berpotensi mengambil tindakan serupa pada masa depan. - DagangNews.com








