KUALA LUMPUR 12 Mac - Malaysia kekal menjadi pilihan menarik bagi pembangun pusat data global, berdasarkan projek-projek pusat data baharu yang dijangka berjumlah 1,313 megawatt (MW).
CIMB Securities Research berkata, keadaan itu tidak berubah walaupun dengan kemunculan mendadak DeepSeek dan perubahan lanjut dalam dasar cip kecerdasan buatan (AI) oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
"Status Malaysia yang kaya dengan sumber dan pendirian diplomatik yang seimbang memastikan negara ini kekal kompetitif sebagai hab pusat data yang sedang berkembang dan penyokong utama dalam perlumbaan AI global," katanya dalam satu nota kajian.
Ia percaya, prospek pelaburan kemudahan pusat data di Malaysia akan terus kukuh dan dijangka semakin berkembang pada suku-suku akan datang.
Firma penyelidikan itu juga belum melihat sebarang tanda yang jelas tentang pengurangan pelaburan AI yang ketara oleh syarikat teknologi utama, walaupun dengan kemunculan penyedia teknologi AI yang lebih murah seperti DeepSeek dan pengenalan peraturan oleh kerajaan AS.
Empat gergasi teknologi iaitu Meta, Microsoft, Google dan Amazon dilapor membelanjakan sebanyak RM1.42 bilion untuk pembangunan dan kemudahan AI tahun ini.
Sementara itu, Projek Stargate, yang diterajui oleh OpenAI dan SoftBank dari Jepun, akan melabur RM2.2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang untuk membangunkan kemudahan AI baharu di AS.
CIMB Securities berkata, pengalihan pelaburan pusat data ke AS sebenarnya meningkatkan kuota eksport untuk unit pemproses grafik maju, yang mengurangkan beberapa had bekalan kuasa pengiraan negara-negara Tahap 2, seperti Malaysia.
Firma penyelidikan itu menganggarkan, sejumlah projek pusat data berjumlah 1,313 MW berpotensi memberikan peluang pekerjaan bernilai antara RM23 bilion hingga RM29 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Antara pilihan utama CIMB Securities adalah Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd dan Sunway Construction Group Bhd (SunCon).
Katanya, SunCon mempunyai pendedahan terbesar terhadap projek pusat data, yang menyumbang RM3.2 bilion daripada buku pesanan tertunggaknya (42%), berbanding 7% bagi Gamuda (RM2.5 bilion) dan IJM (RM800 juta).
"Seiring dengan peningkatan skala dan kerumitan projek pusat data, firma penyelidikan percaya, ketiga-tiga kontraktor yang kukuh dari segi kewangan ini akan mendapat manfaat paling banyak kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang terbukti dan memiliki sistem pembinaan bersepadu (IBS), yang membolehkan penghantaran projek yang sensitif terhadap masa dengan lebih cekap," jelasnya.
Bagi pemain hiliran, Econpile Holdings Bhd dilihat berpotensi menjadi pesaing kuat untuk mendapatkan lebih banyak projek substruktur yang berkaitan pusat data.
CIMB Securities, yang memberikan saranan 'beli' dengan harga sasaran 38 sen berkata, Econpile telah mengemukakan dua bidaan untuk kerja-kerja cerucuk bernilai RM50 juta di Lembah Klang, yang mewakili kira-kira 5% daripada buku tender semasanya yang bernilai RM1 bilion. - DagangNews.com








