Malaysia perkukuh keselamatan siber industri penerbangan melalui inisiatif ICP diterajui TDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perkukuh keselamatan siber industri penerbangan melalui inisiatif ICP diterajui TDA

Datuk Hasbi Habibollah berucap pada majlis perasmian Rangka Kerja dan Dasar Keselamatan Siber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada 11 November 2025.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SEPANG 11 Nov - Malaysia melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan siber sektor penerbangan dengan pelancaran Rangka Kerja dan Dasar Keselamatan Siber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hasil pelaksanaan Industrial Collaboration Program (ICP) yang diterajui oleh Technology Depository Agency (TDA).

 

Inisiatif strategik ini menandakan kejayaan usaha kerajaan dalam menterjemah perolehan awam kepada nilai tambah negara melalui pendekatan ICP, di bawah seliaan TDA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memastikan setiap projek perolehan strategik membawa pulangan teknologi dan pembangunan kapasiti kepada Malaysia.

 

Rangka kerja baharu ini bukan sahaja memperkukuh tadbir urus keselamatan siber negara terhadap ancaman digital, tetapi turut memperkasa pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta meningkatkan daya tahan sistem digital penerbangan negara.

 

Majlis pelancaran sempena Transport Expo Asia 2025 (TXA 2025) itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud, Pengerusi TDA Sim Tze Tzin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TDA Mohamad Rafidi Mat Dahan.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin serta Pengerusi Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd Datuk Zolkipli Abdul, yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar ini.

 

Hasbi dalam ucapannya berkata pelaksanaan ICP dan dasar keselamatan siber tersebut membuktikan inisiatif kerajaan yang dilaksanakan secara bersepadu mampu memberi impak besar terhadap pembangunan negara.

 

“Kementerian akan terus memantau pelaksanaan dasar-dasar ini dengan teliti bagi memastikan setiap komitmen diterjemahkan kepada tindakan nyata,” katanya.


 

Pemangku CEO TDA Mohamad Rafidi Mat Dahan
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TDA Mohamad Rafidi Mat Dahan berucap pada majlis pelancaran Rangka Kerja dan Dasar Keselamatan Siber CAAM.

 


Sementara itu, Mohamad Rafidi menegaskan TDA komited memastikan setiap perolehan strategik kerajaan memberikan pulangan nilai kepada negara.

 

“Projek ini membuktikan bagaimana ICP mampu menterjemah perolehan kerajaan kepada hasil nyata yang menyumbang kepada keselamatan digital, pembangunan kemahiran tempatan dan kedaulatan teknologi negara,” katanya sambil menambah TDA akan terus memacu agenda ICP merentasi semua sektor strategik.

 

Selaras dengan Akta Keselamatan Siber 2024, pelaksanaan dasar ini meletakkan Malaysia antara negara yang proaktif dalam memperkukuhkan ketahanan dan kesiapsiagaan siber, khususnya dalam sektor penerbangan awam yang kritikal kepada keselamatan negara dan ekonomi digital.

 

Orang ramai boleh melayari www.tda.my untuk maklumat lanjut mengenai pelancaran CAAM Cybersecurity Framework and Policy serta inisiatif berterusan TDA. - DagangNews.com