KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM14.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (Q1 FY26) berbanding RM12 juta yang direkodkan setahun lalu.
Peningkatan sebanyak 17% itu disokong prestasi lebih kukuh segmen kejuruteraan berat. Hasil kumpulan turut meningkat 15.2% kepada RM521.9 juta daripada RM453.1 juta sebelumnya.
Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan operasi MMHE meningkat 17.5% kepada RM18.1 juta berbanding RM15.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam kenyataan hari ini, MMHE berkata prospek industri bagi 2026 masih dipengaruhi ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang terus mewujudkan ketidaktentuan perdagangan dan ekonomi global.
Menurut kumpulan itu, situasi tersebut dijangka mengekalkan harga tenaga pada paras tinggi selain mengganggu rantaian bekalan dan menjejaskan sentimen pelaburan dalam sektor tenaga serta marin.
“Walaupun berdepan cabaran itu, peningkatan permintaan terhadap penukaran pelantar terapung luar pesisir dan kerja pembaikan kapal gas asli cecair (LNG) dijangka membuka peluang baharu kepada kumpulan,” katanya.
MMHE berkata, segmen kejuruteraan berat akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan pelaksanaan projek menerusi penyempurnaan projek secara selamat dan mengikut jadual.
Kumpulan itu turut mengamalkan pendekatan lebih selektif melibatkan sektor tenaga konvensional dan tenaga baharu di pasaran domestik serta antarabangsa bagi memastikan portfolio perniagaan kekal seimbang.
Bagi segmen marin, MMHE menjangkakan sumbangan stabil akan terus disokong kepakaran syarikat dalam pembaikan LNG dan penukaran pelantar terapung selain permintaan berterusan terhadap kerja pembaikan, penyelenggaraan dan penukaran kapal.
Dalam masa sama, usaha pemodenan limbungan yang sedang dilaksanakan dijangka meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh daya saing kumpulan dalam menawarkan penyelesaian lebih kompetitif kepada pelanggan.
MMHE berkata, inisiatif tersebut akan terus menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








