Malaysia catat perdagangan RM3 trilion pada 2025, tertinggi dalam sejarah - Matrade | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia catat perdagangan RM3 trilion pada 2025, tertinggi dalam sejarah - Matrade

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan barangan melebihi RM3 trilion pada 2025, satu pencapaian yang bersejarah, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

 

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi cemerlang itu adalah bukti ekonomi  negara yang kukuh dan berdaya tahan  dalam menghadapi pelbagai cabaran global.

 

Katanya, sektor perkhidmatan turut mencatat kejayaan ketara apabila negara mencatat surplus perdagangan perkhidmatan buat pertama kali sejak 2011, menandakan peralihan ekonomi kepada aktiviti bernilai tinggi.

 

“Jumlah surplus perdagangan keseluruhan bagi tahun 2025 mencapai RM1.15 bilion, disokong oleh prestasi kukuh sektor pelancongan dan perkhidmatan industri lain.

 

“Perdagangan perkhidmatan merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah iaitu RM543.01 bilion, meningkat 9.2% berbanding 2024, menunjukkan pertumbuhan yang mampan dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, jumlah surplus tersebut adalah bukti bahawa peralihan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan bernilai tinggi membuahkan hasil selepas lebih sedekad.

 

Eksport perkhidmatan melonjak kepada RM272.08 bilion, meningkat 12%, manakala import pula mencatat RM270.93 bilion, naik 6.4%, sekali gus menghasilkan surplus perdagangan positif.

 

Pertumbuhan eksport didorong oleh peningkatan permintaan dalam sektor pelancongan, telekomunikasi, teknologi maklumat, serta perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

 

Sektor pelancongan mencatat pertumbuhan 16% kepada RM110.59 bilion, sejajar dengan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa kepada 42.2 juta orang.

 

Sementara itu, perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat berkembang 27.1% kepada RM27.13 bilion, selaras dengan pembangunan ekosistem pusat data di seluruh negara.

 

Perkhidmatan perniagaan lain meningkat 14.1% kepada RM48.66 bilion, mencerminkan permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan profesional, perundingan dan pengurusan.

 

Penyelenggaraan dan pembaikan pula mencatat pertumbuhan 34.2% kepada RM7.67 bilion, menunjukkan Malaysia semakin terlibat dalam rantaian bekalan serantau dan global.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata agensi itu akan terus memfokuskan usaha membantu pengeksport Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran antarabangsa.

 

“Pelbagai pameran dan ekspo antarabangsa seperti International Paris Airshow, ADIPEC, Semicon Southeast Asia dan International Healthcare Week Malaysia turut menjadi platform penting dalam mempromosikan keupayaan perkhidmatan  negara.

 

“Semua acara perdagangan berkaitan perkhidmatan utama ini selaras dengan sektor bernilai tinggi seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) bagi memastikan sektor perkhidmatan terus berperanan sebagai enjin utama kemakmuran negara,” katanya. - DagangNews.com