KUALA LUMPUR 14 Mei - Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan sistem pelancar berkaitannya yang disifatkan sebagai tindakan unilateral serta tidak boleh diterima.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disampaikan dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, susulan keputusan Norway yang didakwa dibuat atas alasan melindungi keselamatan negara itu.
Katanya, Malaysia menegaskan bahawa negara ini telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak berkenaan sejak 2018 dengan penuh tanggungjawab dan itikad baik.
“Malaysia telah menghormati setiap kewajipan di bawah kontrak ini secara teliti, amanah dan tanpa sebarang keraguan. Namun Norway nampaknya tidak menunjukkan semangat serta penghormatan yang sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menegaskan bahawa kontrak yang dimeterai antara negara tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan komitmen strategik jangka panjang dan kredibiliti antara rakan pertahanan.
“Kontrak yang ditandatangani adalah instrumen serius dan mengikat. Ia bukan sesuatu yang boleh dibatalkan secara sesuka hati.
“Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka boleh mungkir janji tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan terhakis,” katanya.
Perdana Menteri menambah, tindakan Norway itu dijangka memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara termasuk program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Selain itu, keputusan tersebut juga dibimbangi memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau. - DagangNews.com








