KUALA LUMPUR 20 Mac - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada SumiSaujana Group Bhd pada 30 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah lebih tinggi sebanyak 25% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 April 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 14x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 2.16 sen
"Penilaian itu wajar kerana dipacu sektor produk dan perkhidmatan perindustrian, kami ia adalah wajar mencerminkan permodalan pasaran kumpulan yang lebih kecil.
"Kumpulan itu juga mencatatkan hasil sebanyak RM158.8 juta pada FY24 didorong permintaan stabil untuk produk perkilangan dan sumbangan besar daripada bekalan baharu dalam segmen khusus minyak dan gas (O&G) serta kimia industri," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan CAGR pendapatan tiga tahun sebanyak 30.5% dengan untung bersih teras dijangka mencecah RM29.2 juta, RM33.1 juta dan RM38.1 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Katanya, pertumbuhan itu akan didorong oleh sumbangan kukuh daripada segmen pemangkin dalam perniagaan dagangannya dan usaha pengembangan kapasiti syarikat, dengan penggunaan kini lebih 75%.
"Selain itu, kecekapan kos daripada pengambilalihan kilang di Puncak Alam dan penggunaan solar fotovoltaik akan terus menyokong keuntungannya," katanya.
SumiSaujana meletakkan dirinya sebagai pengeluar bahan kimia khusus terkemuka dalam sektor O&G domestik.
Dengan formulasinya sendiri, syarikat itu menghasilkan cecair penggerudian-termasuk pengemulsi, agen pembasahan, pengubah reologi, dan bahan kimia pembersih lubang telaga-serta bahan kimia pengeluaran dan penapisan seperti pemulung dan perencat kakisan, yang digunakan terutamanya oleh pemain huluan.
Terdahulu, IPO itu melibatkan penjualan 310 juta saham baharu pada harga 24 sen setiap satu.
Sebanyak 54% atau RM40.2 juta daripada wang yang dikumpul akan digunakan untuk membeli dan menyatukan kemudahan operasi syarikat, termasuk gudang dan pejabat baharu di Puncak Alam.
Wang selebihnya akan digunakan untuk membeli kilang sedia ada dengan peruntukan RM18.9 juta, mengembangkan unit penyelidikan dan pembangunan (RM7.6 juta), perbelanjaan modal (RM2.1 juta) dan kos berkaitan penyenaraian (RM5.6 juta).
RHB Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO berkenaan.- DagangNews.com








