KUALA LUMPUR 14 Mac - NexG Bhd terus mengukuhkan hubungannya bersama masyarakat dengan menyantuni 50 anak yatim dan asnaf dari Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia dalam Majlis Iftar Ramadan NexG 2025 di sebuah hotel di ibu negara semalam.
Majlis itu turut dihadiri ahli lembaga pengarah dan pengurusan NexG bersama kakitangan mereka bagi berkongsi kegembiraan dalam suasana yang meriah.
Pengarah Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, majlis berkenaan dianjurkan adalah lebih daripada sekadar acara tahunan.

"Majlis Iftar Ramadan NexG 2025 adalah manifestasi kepada komitmen NexG dalam melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan.

"Kami percaya nilai-nilai murni yang dipupuk menerusi inisiatif ini mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemai semangat kesukarelawanan dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Selain berbuka puasa bersama, NexG turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak dari kedua-dua rumah kebajikan itu sebagai sokongan berterusan terhadap mereka.
Dalam majlis itu anak-anak dari kedua-dua rumah kebajikan itu turut melakukan persembahan istimewa termasuk nyanyian lagu hari raya bagi menghiburkan tetamu yang hadir. - DagangNews.com








